bisnes

Kiswah Zainab intai pasaran luar negara

KISWAH Zainab Sdn Bhd merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa antaranya United Kingdom, Australia, Singapura, Indonesia dan Brunei menjelang tahun depan menerusi produk kit kelengkapan jenazah di bawah jenama Kiswah Zainab.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Zamira Azmin Arifin berkata, sebelum ini pihaknya menerima permintaan dari Jepun namun akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua urusan penghantaran ke Jepun tergendala.

Katanya, selain meneroka pasaran luar negara, pihaknya turut memberi tumpuan memenuhi permintaan Kiswah Zainab di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Sebanyak 500 kotak set pengurusan jenazah yang disediakan untuk dihantar ke Jepun itu kami jual di pasaran Malaysia dan kami tidak sangka banyak kedai ditutup menyebabkan produk saya mendapat sambutan daripada masyarakat sekeliling.

"Setakat ini, kami menerima sambutan begitu memberangsangkan bagi kit Kiswah Zainab dan untuk tahun kedua ini, kami sedang menyiapkan tempahan set jenazah daripada yayasan dalam Program Infaq Kain Kafan untuk dihantar ke masjid di seluruh Malaysia," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sejak dulu ramai beranggapan menyimpan set ini tidak perlu kerana urusan terbabit boleh diserahkan kepada ahli jawatankuasa masjid atau surau namun mereka yang ditugaskan menguruskan jenazah perlu mendapatkan kelengkapan di kedai.

Zamira berkata, setiap ahli keluarga yang kehilangan ibu, ayah atau saudara terdekat pasti mahukan pakaian terbaik yang akan digunakan untuk pengurusan jenazah.

"Untuk itu Kiswah Zainab menyediakan 20 barangan lengkap seperti kain kapan sepanjang 13 meter yang dijahit sempurna menggunakan fabrik kapas terbaik, telekung, serban, sarung bantal, air mawar dan kapas gulung," katanya.

Kiswah Zainab menawarkan tiga pakej produk iaitu set kelengkapan jenazah premium yang mana ia bersesuaian untuk seorang jenazah lelaki atau perempuan, set kelengkapan untuk jenazah perempuan sahaja dan set untuk lelaki sahaja.

Harga yang ditawarkan antara RM240 hingga RM265 sekotak yang mana ia dipek bagi membolehkan pengguna menyimpan untuk keperluan di rumah atau dijadikan hadiah kepada keluarga.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 7:20am
d