bisnes

TIME, Le Global, Tecforte bekerjasama meningkatkan keselamatan siber

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: TIME dotCom Bhd (TIME) bekerjasama dengan dua syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), LE Global Services Sdn Bhd (LGMS) dan Tecforte Sdn Bhd (Tecforte) untuk membangunkan penyelesaian keselamatan siber bagi Ekonomi Digital Malaysia.

Kesemua syarikat terbabit menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam platform dan perkhidmatan pengurusan keselamatan siber bagi sektor infrastruktur kritikal.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, syarikat-syarikat itu berkata, MoU itu bertujuan membantu organisasi bersaiz kecil atau besar, untuk meningkatkan keselamatan siber dan kesedaran tentang keselamatan siber.

Usaha itu seiring dengan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dirangka oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Ia merupakan satu usahasama untuk merangsang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan mengumpul bakat-bakat teknologi tempatan yang bernilai tinggi serta meningkat penciptaan pekerjaan dan pengekalan bakat.

Selain bertujuan mempersiapkan perniagaan untuk pematuhan, platform dan perkhidmatan keselamatan siber yang akan dibangunkan melalui usahasama itu juga akan memberi penyelesaian yang menawarkan akses yang mudah dan menyingkirkan faktor-faktor kos yang menghalang kepada perniagaan.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 3:57pm
d