bisnes

Media Prima mula proses pembelian Balai Berita Bangsar

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), mengumumkan perolehan ibu pejabatnya di Bangsar sebagai sebahagian daripada pelan pengukuhan jangka panjang terhadap operasi perniagaan Kumpulan.

Kumpulan menyambut baik tawaran daripada PNB Development Sdn Bhd (PNB Development) bagi cadangan perolehan Balai Berita Bangsar dengan pertimbangan belian RM156.4 juta.

Cadangan perolehan bakal dimeterai antara Media Prima dan PNB Development tertakluk kepada perjanjian jual beli rasmi.

Media Prima dalam kenyataan hari ini berkata, bangunan berkenaan adalah ibu pejabat kumpulan dan pejabat anak-anak syarikat yang disewa daripada PNB Development.

"Cadangan perolehan Balai Berita Bangsar ini juga dijangka memberi jaminan jangka panjang untuk memastikan operasi kumpulan berjalan lancar.

"Media Prima juga telah mengambil kira faktor lokasi strategik Balai Berita Bangsar sebagai lokasi optimum mendukung kadar pertumbuhan dan operasi kumpulan," katanya.

Menurutnya, Kumpulan berhasrat untuk melabur dalam pembikinan studio baru bagi melengkapkan studio sedia ada agar dapat menampung permintaan penghasilan kandungan yang semakin meningkat dan menyatukan operasi pengumpulan berita.

"Cadangan perolehan adalah pelan perniagaan strategik bagi menjamin kelestarian masa hadapan di mana ia juga dapat mengurangkan risiko potensi kenaikan kadar sewa," katanya.

Pada 2018, Media Prima terbabit dalam perjanjian urus niaga jualan dan pajak bersama PNB Development, membabitkan aset milik The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad termasuk bangunan Balai Berita Bangsar.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 5:53pm
d