bisnes

BNM terima 29 permohonan lesen bank digital

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa sebanyak 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital telah diterima di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, selepas tempoh permohonan selama enam bulan berakhir pada 30 Jun

lalu.

BNM dalam kenyataan berkata, pelbagai pihak telah menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital, termasuk bank-bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan beberapa kerajaan negeri.

"Pemohon yang berjaya dan memenuhi kesemua kriteria kehematan dijangka dapat menyumbang ke arah rangkuman kewangan lebih luas dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan untuk mengurangkan jurang pasaran bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

"Ia termasuk menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai pada kos berpatutan melalui penggunaan aplikasi teknologi yang inovatif," katanya.

Menurutnya, sehingga lima lesen akan dikeluarkan dan permohonan yang berjaya akan dimaklumkan pada suku pertama 2022.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 6:32pm
d