bisnes

TnG lancar 2 kempen bantu penjual

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go (TnG) mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memacu inisiatif Belanjawan 2021 melalui kempen 'G0-eCommerce Onboarding' dan 'Shop Malaysia Online' (SMO).

Menerusi kenyataan, kempen SMO akan berlangsung daripada 1 Julai hingga 31 Disember bagi menyokong perniagaan tempatan dan menggalakkan pembelian dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd Ignatius Ong berkata, menerusi kempen onboarding, setiap perusahaan mikro, perniagaan kecil dan sederhana atau individu rakyat Malaysia (tanpa pendaftaran perniagaan) yang berjaya mendaftar dengan TnG eWallet semasa tempoh kempen itu akan mendapat subsidi bernilai RM20 untuk penjualan pertama yang berjaya diniagakan.

Katanya, ia terhad kepada 80,000 pedagang baharu pertama TnG eWallet yang diluluskan dalam tempoh kempen tersebut.

Menurutnya, kempen SMO yang disertai TnG eWallet buat kali kedua, akan membantu menggerakkan insentif kerajaan untuk menarik pengguna baharu dan yang sedia ada untuk berbelanja secara digital.

"Dalam tempoh yang sukar ketika ini dan menerusi kempen pengguna seumpama itu, jumlah pengguna kami yang meningkat memberi peluang kepada peniaga kecil untuk bertahan, jika tidak berkembang sekalipun, terutamanya ketika pengguna cenderung ke arah trend membeli-belah dalam talian dan transaksi tanpa sentuhan," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2021 @ 3:30pm
d