bisnes

Sukuk Kelestarian penuhi keperluan modal kerja

SME Bank memperkenalkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion dan menjadi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) pertama di negara ini yang menerbitkan Sukuk Kelestarian bagi memenuhi keperluan dana dan modal kerjanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penerbitan Sukuk Kelestarian oleh SME Bank adalah tepat pada masanya terutama ketika krisis Covid-19.

Justeru, katanya, terdapat keperluan menyeimbangkan antara menjalankan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dan melakukan kebaikan bagi memenuhi tanggungjawab terhadap faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Usaha SME Bank sebagai sebahagian daripada trend global menjadi satu langkah bijak bagi menjamin jejak kewangan yang kukuh dalam landskap kewangan negara buat masa sekarang dan pada masa akan datang.

"Mengambil daripada perkembangan signifikan ini, satu persoalan penting muncul iaitu di manakah tahap kedudukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita sekarang dalam meletakkan ESG sebagai sebahagian DNA mereka?

"ESG menjadi satu norma pada masa hadapan dan PKS kita perlu bersedia menerima pakai prinsip ini dalam operasi harian mereka.

"Kerajaan, bank dan pihak berkepentingan yang memiliki kemampuan melakukan perubahan perlu memimpin dan mendorong transformasi berterusan PKS," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, hasil daripada penerbitan Sukuk Kelestarian itu disalurkan untuk membiayai projek yang secara langsung menyokong 11 dari 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Sebanyak 11 kategori yang terpilih diselaraskan dengan kategori projek hijau dan sosial yang diakui oleh Piawaian Bon Lestari Asean (Asean SUS), Piawaian Bon Sosial Asean (Asean SBS) dan Piawaian Bon Hijau Asean (Asean GBS) yang dikeluarkan Forum Pasaran Modal Asean (ACMF).

"Di samping itu, 11 kategori ini juga diselaraskan dengan Garis Panduan Bon Lestari (SBG), Prinsip Bon Hijau (GBP) dan Prinsip Bon Sosial (SBP) yang dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA) dan mengikuti garis panduan standard dari Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC)," katanya.

Aria berkata, kategori projek hijau terbabit menyasarkan enam sektor utama iaitu tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, sisa dan air. Sektor-sektor ini telah dikenal pasti oleh Pelan Induk Teknologi Hijau bagi membantu pertumbuhan teknologi hijau di Malaysia.

Disiarkan pada: July 6, 2021 @ 7:10am
d