bisnes

PKS dapat impak positif aliran tunai daripada pakej rangsangan

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersaiz sederhana dianggarkan berupaya menikmati impak positif aliran tunai berjumlah RM6.3 juta atau lebih RM300,000 sebulan selama tempoh 21 bulan dengan manfaat pelbagai bantuan dan insentif di bawah pakej rangsangan, demikian mengikut hasil simulasi dibuat Kementerian Kewangan.

Simulasi itu dibuat berdasarkan andaian PKS bersaiz sederhana yang telah mendapat pelbagai manfaat dan impak positif agihan tunai bulanan daripada April 2020 sehingga Disember 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, andaian itu membabitkan PKS bersaiz sederhana yang mempunyai 200 pekerja, mempunyai pinjaman bank sebanyak RM50 juta dan mendapat manfaat subsidi upah 13 bulan iaitu merangkumi bantuan daripada tahun lalu hingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, syarikat PKS bersaiz sederhana itu mendapat kemudahan moratorium selama enam bulan, justeru tambahan aliran tunai yang dinikmati dianggarkan lebih RM4.6 juta untuk enam bulan.

"Selanjutnya, perusahaan ini juga mendapat bantuan subsidi upah bernilai RM1.68 juta selain pelbagai geran dan bantuan daripada kerajaan.

"Secara keseluruhannya, apabila mengambil kira kesemua insentif ini, aliran tunai syarikat PKS ini menunjukkan impak positif berjumlah RM6.3 juta atau lebih RM300,000 sebulan selama tempoh 21 bulan," katanya ketika membentangkan Laporan LAksana ke-60 yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bantuan kerajaan adalah berterusan untuk sektor perniagaan bagi menjamin kelangsungan operasi mereka di tempoh yang sukar dicetuskan pandemik.

Beliau berkata, terdapat pelbagai insentif lain seperti diskaun elektrik dan potongan cukai yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat di Malaysia.

Disiarkan pada: July 7, 2021 @ 7:10pm
d