bisnes

Pulse diperluas ke Rapid Penang, Kuantan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Aplikasi perancang perjalanan Pulse yang diperkenalkan kepada pengguna perkhidmatan rel dan bas Rapid KL, 17 Disember tahun lalu, kini diperluaskan fungsinya merangkumi perkhimatan Rapid Penang meliputi Seberang Prai dan Rapid Kuantan, Pahang.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datin Norlia Noah berkata, dengan fungsi ini, Pulse memudahkan pengguna di Pulau Pinang dan Kuantan termasuk kawasan sekitarnya seperti Bandar Diraja Pekan untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik sekali gus mengoptimakan masa mereka dengan lebih produktif.

"Sejajar dengan pelan digitalisasi tiga tahun, Pulse akan dikembangkan lagi di masa hadapan dengan pelbagai inisatif yang akan diperkenalkan oleh Prasarana sebagai menghargai sokongan pengguna kami.

"Antara lain, Pulse akan dilengkapi dengan fungsi pembelian dalam talian, program kad kesetiaan, promosi dan ganjaran dengan rakan-niaga, 'plug-in' bagi akaun media sosial pengguna dan gamifikasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aplikasi Pulse mempunyai beberapa fungsi penting bagi pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana seperti perancang perjalanan, penjejak waktu ketibaan masa sebenar untuk perkhidmatan bas dan rel, paparan notifikasi atau 'Push Notifications' dan kalkulator tambang.

Ia turut memaparkan peta stesen tren dan hab bas serta tempat menarik di persekitarannya seperti pusat membeli-belah, tempat makan dan santai serta lokasi tarikan pelancong bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan dan aktiviti mereka.

Setakat ini, Pulse sudah dimuat turun lebih 20,000 pengguna pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang, merangkumi semua perkhidmatan tren danbas di bawah seliaan Rapid KL termasuk LRT, MRT dan monorel serta bas BRT, GoKL dan Smart Selangor.

Selain itu, serentak dengan pelancaran versi terbaru Pulse, pengguna yang memuat turun aplikasi ini berpeluang menyertai kempen promosi yang dinamakan Mana Oyen? bermula 23 hingga 30 Julai 2021.

Tiga penyertaan lengkap dan dengan jawapan yang betul dari setiap lokasi (Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan) akan memenangi hadiah misteri,manakala lima puluh penyertaan terawal secara keseluruhan akan mendapat Kad My Rapid Touch 'n Go edisi terhad.

Aplikasi Pulse by Prasarana boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play.

Disiarkan pada: July 12, 2021 @ 1:46pm
d