bisnes

Mohammed Azlan dilantik Pengerusi TM

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan pelantikan Pengerusi baharunya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, berkuat kuasa 1 Ogos 2021.

Mohammed Azlan menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Dalam kenyataannya, Kumpulan TM dan ahli lembaga pengarahnya merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan Mohd Bakke

"Seluruh ahli lembaga pengarah dan warga TM ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Mohd Bakke Salleh, yang menjadi suri teladan (role model) contoh dalam memegang tadbir urus dan integriti serta menjadi tokoh korporat dihormati, yang visi luasnya dalam industri dan komersial memberi manfaat kepada TM," katanya.

Kenyataan sama berkata, Mohd Bakke bersama-sama dengan ahli lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengurusan sudah merintis ke fasa berikutnya dalam perkembangan syarikat di bawah Transformasi TM Baharu (2021-2023), ditunjangi oleh 40+ Program Nilai.

"Ini dilihat menerusi permulaan yang baik dengan pertumbuhan suku tahunan di seluruh perniagaan dan operasi yang ditambak baik. Di bawah pimpinan beliau, TM juga terus berkhidmat kepada negara dalam memastikan rakyat Malaysia terus saling berhubung dan produktif ketika Perintah Kawalan Pergerakan, di samping membantu golongan memerlukan ketika tempoh masa yang mencabar ini," katanya,

Mohd Bakke dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TM pada Mei 2020.

Disiarkan pada: July 12, 2021 @ 6:58pm
d