bisnes

Pendaftaran GKP 4.0 dibuka mulai hari ini

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang tidak pernah menerima Geran Khas Prihatin (GKP) sebelum ini, boleh mengemukakan pendaftaran GKP 4.0 mulai hari ini hingga 31 Julai 2021.

Ia boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dengan adanya proses pendaftaran baharu ini, sebahagian daripada PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan bagi verifikasi semula.

"PKS mikro yang layak untuk GKP 4.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat 30 Jun 2021.

"Untuk maklumat lanjut, pemohon GKP boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi GKP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir sejuta PKS mikro di bawah GKP sejak Covid-19 melanda negara adalah RM6.1 bilion.

"Kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini," katanya.

Peruntukan GKP 4.0 ialah sebanyak RM1 bilion di mana bayaran akan dibuat pada bulan September 2021 (RM500) dan November 2021 (RM500) membabitkan penerima GKP sedia ada dan juga pemohon yang baharu diluluskan.

Penerima GKP sedia ada tidak perlu membuat sebarang permohonan.

Disiarkan pada: July 15, 2021 @ 2:55pm
d