bisnes

Tambah keyakinan pendeposit

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Penambahbaikan struktur tadbir urus Lembaga Tabung Haji (LTH) dijangka memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap organisasi itu.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, model baru LTH yg dicadangkan oleh kerajaan adalah untuk memperbaiki struktur tadbir urus melalui pengukuhan kerangka organisasi yang dibanggakan umat Islam di negara ini.

Katanya, ia adalah satu langkah yang sangat baik dan proaktif selepas LTH melalui pelbagai pembetulan beberapa tahun lalu yang sudah berlaku pada 2018 dan sebelumnya.

"Ia juga akan memberikan keyakinan kepada masyarakat sekiranya tadbir urus LTH dapat ditingkatkan sama pada aras urus tadbir bank di Malaysia sekarang ini.

"Dari permulaannya yang humble, LTH kini mempunyai deposit yang sudah mencapai RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021, tahap tertinggi yang pernah ada, mencerminkan keyakinan pendeposit.

"Maka kepercayaan ini harus terus dibina untuk memantapkan lagi institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam di Malaysia dan menjadi contoh kepada negara Islam lain di dunia," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, LTH menjadi penting terutama dalam strategi pemegang ekuiti Bumiputera dan terutama kepada umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, pegangan ekuiti melalui pelaburan LTH ke dalam organisasi penting seperti Bank Islam, dapat digunakan untuk meningkatkan ekonomi orang Islam di Malaysia.

"Secara tidak langsung, ia mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan melalui pengembangan perniagaan dan penubuhan perniagaan baru, sekali gus menjadi pemangkin kepada ekonomi berlandaskan syariah.

"Pada pandangan saya sekiranya, pengukuhan tadbir urus LTH menjadi lebih baik dan terus meningkat ke aras yang dihormati dunia, maka tidak hairanlah nanti organisasi ini akan berkembang berlipat kali ganda dan terus menyokong perkembangan ekonomi Islam di Malaysia dan di peringkat antarabangsa," katanya.

Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan model baharu operasi LTH akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, MoF, Bank Negara Malaysia (BNM) dan LTH.

Jemaah Menteri juga bersetuju dengan penyenaraian LTH sebagai institusi kewangan Islam yang ditetapkan mengikut Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Kerajaan turut bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi meneliti dapatan pengauditan perunding untuk tempoh 2014 hingga 2018, serta langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh LTH berdasarkan dapatan sehingga tahun 2020.

Bagaimanapun, seperti diputuskan Jemaah Menteri, skop suruhanjaya ini tidak akan merangkumi usaha penambahbaikan berterusan dan penstrukturan yang sedang dilaksanakan bagi memperkasakan tadbir urus LTH.

Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 7:00am
d