bisnes

MBSB Bank sumbang 5,000 pek makanan

Kuala Lumpur: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, MBSB Bank menyumbang jumlah terkumpul sebanyak RM2.2 juta kepada pelbagai agensi bukan kerajaan dan agensi yang terbabit dalam membantu komuniti yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19.

Memandangkan negara kini berada di bawah PKP 3.0, MBSB Bank memastikan bantuan diberi kepada komuniti yang sangat terkesan dan kali ini menjalinkan kerjasama bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di mana MBSB Bank menyumbang 5,000 pek makanan bernilai RM500,000.

Ini adalah kerjasama pertama di antara MBSB Bank dan Nadma, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kerjasama itu bertujuan membekalkan makanan seperti beras, minyak masakan, gula, tepung, susu, biskut dan serbuk teh kepada keluarga yang berdepan risiko kelaparan disebabkan kehilangan punca pendapatan.

Naib Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, pihaknya mengambil berat kesukaran yang dialami oleh keluarga ini dan menyedari kekurangan makanan yang teruk menjadi isu utama.

"Kami berharap kerjasama ini dapat membantu memperbaiki keadaan dan ia juga bagi mencapai objektif kelestarian kami dalam memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

"Kami juga berbangga dapat bekerjasama dengan Nadma yang mempunyai sumber maklumat untuk mengenal pasti keluarga ini," katanya dalam kenyataan.

Satu lagi projek menyantuni komuniti yang dilaksanakan MBSB Bank adalah melalui kerjasama dengan Food Aid Foundation (FAF).

Kerjasama itu berjaya mengedarkan lebih 4,000 bungkus makanan kepada komuniti B40 dalam dua bulan terakhir ini dan memberi kesan positif terhadap kesejahteraan masyarakat B40 kerana ia diedarkan tepat pada masanya dan berkesan. Tahun ini menandakan tahun kedua MBSB Bank bekerjasama dengan FAF.

MBSB Bank yang juga bank Islam kedua terbesar di Malaysia mengakui kesan Covid-19.

"Bagi pelanggan yang pendapatannya terkesan disebabkan pandemik ini boleh memohon Bantuan Bayaran Balik secara dalam talian atau dengan mengunjungi cawangan Bank MBSB terdekat," katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 7:01am
d