bisnes

Pertimbang potongan khas cukai

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KERAJAAN boleh mempertimbang untuk meningkatkan nilai potongan khas cukai kepada pemilik premis yang mengurangkan atau mengecualikan pembayaran sewa premis mereka ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) terutama kepada pemilik premis yang tidak mengambil moratorium.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kerajaan juga boleh meningkatkan nilai potongan khas cukai kepada pemilik premis yang mengurangkan atau mengecualikan pembayaran sewa ketika tempoh PKP.

Katanya, ini kerana ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga pada ketika ini berada pada tahap membimbangkan disebabkan oleh kemerosotan pendapatan mereka kesan daripada PKP.

"Mereka tentu sekali berhadapan dengan kesukaran yang luar biasa untuk membayar sewa premis yang digunakan untuk menjalankan perniagaan.

"Fokus utama kebanyakan peniaga pada ketika ini bukan lagi untuk membayar sewa premis perniagaan, tetapi hanya untuk menampung perbelanjaan barangan keperluan harian untuk diri sendiri dan keluarga.

"Selain itu, peniaga dan PKS juga boleh menggunakan bantuan tunai yang diberikan kerajaan antaranya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 serta Geran Khas Prihatin (GKP)," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, pelbagai agensi di bawah kerajaan juga memberi pengecualian bayaran premis perniagaan antaranya Kementerian Pembangunan Luar bandar yang mana usahawan dan peniaga kecil di lima lembaga kemajuan wilayah (LKW).

Ia adalah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang akan menikmati insentif termasuk pengecualian bayaran premis perniagaan dan sewa tanah mulai Ogos hingga Disember 2021.

Beliau berkata, ketika membentangkan Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan), kerajaan turut bersetuju memberi potongan khas cukai kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh enam bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa.

"Namun, berdasarkan situasi semasa maka kerajaan boleh mempertimbang nilai potongan khas cukai lebih tinggi kepada mana-mana pemilik premis yang tidak mengambil moratorium.

"Pemilik juga boleh mengurangkan atau mengecualikan sewa premis masing-masing untuk membantu PKS dan peniaga yang terjejas teruk dan tidak mampu membayar sewa premis.

"Pemilik premis juga sedar bahawa mereka juga akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan penyewa baharu untuk menyewa premis mereka berdasarkan kepada situasi semasa dalam keadaan keterbatasan perniagaan secara fizikal dan peningkatan potongan khas cukai ini akan membantu kedua-dua pihak iaitu pemilik dan penyewa premis," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk memudahkan semua inisiatif urusan permohonan dan pembayaran bantuan kewangan kepada PKS termasuk mengurangkan birokrasi bantuan sama ada bantuan dalam bentuk geran khas mahupun pembiayaan pinjaman yang akhirnya akan dapat membantu PKS mempercepatkan proses pemulihan kesan PKP3.0.

Disiarkan pada: August 10, 2021 @ 7:00am
d