bisnes

73% nak ubah suai

KIRA-KIRA 73 peratus rakyat Malaysia berhasrat mengubah suai kediaman mereka selepas menghabiskan lebih banyak masa di rumah akibat Covid-19.

Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru bagi separuh kedua 2021 mendapati sebanyak 38 peratus responden mahu mengubah suai atau membaik pulih ruang tertentu di kediaman mereka manakala 35 peratus lagi memikirkan untuk memiliki rumah atau berpindah dari lokasi semasa.

Menurut kajian itu, pandemik Covid-19 mempengaruhi tanggapan rakyat Malaysia mengenai ruang kediaman dengan tiga daripada empat orang (77 peratus) menganggap pentingnya mempunyai ruang tambahan di rumah bagi hartanah baharu untuk dijadikan pejabat.

Peningkatan kemahuan memiliki rumah atau berpindah rumah kepada hartanah yang dapat memenuhi keperluan mereka adalah sangat tinggi terutama dalam kalangan penyewa (74 peratus), individu yang tinggal bersama ibu bapa (63 peratus) dan kumpulan berpendapatan rendah (50 peratus).

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, Malaysia melalui pelbagai bentuk kawalan pergerakan sejak 17 bulan lalu dan masa dihabiskan di rumah membuatkan banyak pihak menyedari kepentingan dan faedah memiliki ruang peribadi sendiri, terutama bagi mereka yang bekerja jarak jauh.

"Kesan pandemik dari segi bagaimana mereka merancang kehidupan di rumah lebih terserlah dalam kalangan anak muda di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang masih tinggal bersama ibu bapa, yang menamakan 'keperluan terhadap lebih banyak ruang peribadi' sebagai antara sebab utama mereka ingin membeli rumah baharu," katanya dalam kenyataan.

Dalam kajian berkenaan, tiga faktor utama dinyatakan mereka yang mahu membeli hartanah adalah untuk tujuan pelaburan (43 peratus), keperluan mempunyai lebih banyak ruang peribadi (26 peratus) dan peluang menggunakan kelebihan kadar faedah rendah yang diberikan pada masa ini (27 peratus).

Menurutnya, kadar faedah dan prospek harga memberangsangkan serta kepuasan hartanah semasa yang tinggi sudah meningkatkan kajian keseluruhan indeks sentimen sebanyak tiga mata daripada 42 pada separuh pertama 2021 kepada 45 pada separuh kedua 2021.

Sebaliknya, sentimen rakyat Malaysia terhadap iklim semasa hartanah merosot tiga mata daripada 35 pada separuh pertama 2021 kepada 32 pada separuh kedua 2021.

"Bagaimanapun, keinginan memiliki rumah tetap kuat dalam kalangan rakyat Malaysia kerana empat daripada lima orang berhasrat membeli hartanah di Malaysia pada masa hadapan," katanya.

Hasil kajian mendapati berbanding separuh pertama 2021 lebih ramai rakyat Malaysia pada masa ini tidak pasti mengenai harga hartanah (56 peratus; meningkat daripada 52 peratus), berdepan kelewatan dalam urus niaga hartanah (51 peratus; naik daripada 42 peratus) dan sukar mendapatkan pinjaman perumahan (46 peratus; naik daripada 43 peratus) pada separuh kedua 2021 akibat pandemik.

Menurutya, pencari rumah di Malaysia turut berkongsi dua kekangan utama untuk mengambil pinjaman perumahan pada separuh kedua 2021 iaitu tidak mampu membayar wang pendahuluan dan pekerjaan atau gaji yang tidak stabil.

Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah pelepasan hartanah seperti lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga akhir tahun ini, hanya 16 peratus rakyat Malaysia berpendapat usaha kerajaan untuk menjadikan perumahan mampu milik itu adalah memadai.

Rakyat Malaysia juga percaya insentif kewangan daripada pemaju hartanah seperti diskaun atau pulangan tunai (84 peratus), pakej dan skim pembelian (66 peratus), serta baucar atau hadiah (38 peratus) membantu mendorong keputusan untuk membeli rumah pada masa hadapan.

Disiarkan pada: August 19, 2021 @ 6:10am
d