bisnes

Wanita ini raih jualan RM6 juta ketika musim PKP

Oleh Muhamad Shaifullah Tayep

BATANG buruk adalah kuih tradisi yang popular di negara ini.

Ia dibuat menggunakan tepung gandum dicampur dengan kacang hijau premium, dan ditambah perasa garam dan gula, lalu diuli menjadi doh dan dibentuk membentuk silinder bulat berongga seterusnya digoreng.

Pelbagai resipi batang buruk versi baharu boleh ditemui seperti menggunakan kulit popia lalu ditambah serbuk kacang hijau yang disangai.

Batang buruk banyak ditemui ketika perayaan Aidilfitri dan mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana rasanya tidak terlalu manis dan lemak kacang hijau.

Namun, pernahkah anda menyangka kuih tradisi yang tak lapuk ditelan dek zaman ini mampu menjana jualan lumayan?

Pemilik Hedy's International Sdn Bhd, Nor Hedayah Kaulan membuktikan beliau mampu meraih sehingga RM6 juta hanya dengan menjual kuih batang buruk.

Nor Hedayah berasal daripada keluarga biasa yang menetap di kampung, bapanya hanya seorang buruh kasar dan ibunya suri rumah.

Menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam sudah memadai baginya namun terdetik dalam hati untuk mencari duit tambahan dengan menjadi usahawan.

Pada awalnya, agak sukar untuk beliau menstabilkan perniagaan sampingan.

Namun, berbekalkan semangat yang ada beliau mencuba menjual pelbagai produk seperti pomade, tudung dan apa saja asalkan boleh menambah hasil pendapatan sendiri.

"Nampak macam hebat waktu itu namun semua bisnes itu tak pergi jauh malah duit banyak habis sebab banyak benda jual," katanya.

Berhenti kerja

Semuanya berubah selepas beliau menyertai satu program dan hanya fokus kepada satu produk sahaja iaitu kuih batang buruk.

Malah, perkara paling 'gila' dibuat Nor Hedayah dan suaminya apabila mereka berhenti kerja serentak, beza cuma seminggu sahaja.

"Mulakan apa yang ada dahulu seperti yang dikatakan guru saya, stok batang buruk ketika itu banyak jadi saya mula jual batang buruk," katanya.

Tidak toleh belakang

Bermula dari situ, beliau sudah tidak boleh memandang ke belakang dan terus menapak ke hadapan untuk menampung perbelanjaan dan menyelesaikan komitmen keluarga.

Namun, terdetik dalam hatinya adakah hanya dengan menjual kuih batang buruk sahaja mampu pergi jauh?

"Alhamdulillah bila saya buat dengan ilmu dapat daripada kelas yang saya sertai, saya dapat buat setiap hari itu seperti hari raya," katanya.

Hasilnya, kini beliau berjaya menaik taraf status syarikat ke Sdn Bhd dan memiliki sebuah MPV mewah Vellfire.

Ikut bimbingan secara langsung

Biarpun pada awalnya beliau mengalami kerugian besar akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, semangatnya tidak pernah patah.

"Masa PKP saya rasa hilang arah sekejap, tapi tak lama pun.

"Bukan senang pada dua minggu pertama PKP itu, jumlah jualan jatuh sangat teruk dari hampir RM60,000 sebulan pada Februari jadi tinggal RM18,000 pada Mac 2020.

"Ketika itu dengan ada premis, nak bayar kakitangan lagi, rasa macam tak boleh pergi dah…," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak putus mengikuti bimbingan kelas untuk membantu ramai usahawan yang lain. 

Kini, usahawan ini tetap berjaya mencapai jualan sehingga RM6 juta walaupun musim pandemik.

Usahawan Hedy's International Sdn Bhd, Rashidah. - FOTO Hedy's International Sdn Bhd

Hedy's International Sdn Bhd turut berjaya melahirkan usahawan yang mampu meraih pendapatan lumayan hanya dengan menjual kuih batang buruk seperti Rashidah Mohamed Rashid.

Rashidah sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan selama 20 tahun, namun selepas menyertai Hedy's International Sdn Bhd pada tahun 2019 kehidupannya berubah.

Ketika ramai peniaga tersekat akibat pandemik Covid-19, Rashidah mampu meraih jualan sebanyak RM1.5 juta dan membeli kereta Toyota Vellfire.

Untuk mengetahui promosi terkini Batang Buruk, layari laman web, Facebook atau hubungi ejen sah mereka melalui WhatsApp dan Telegram.

Disiarkan pada: August 31, 2021 @ 4:37pm
d