bisnes

Gaji minimum semasa boleh disemak semula secara berperingkat

Kuala Lumpur: "Gaji minimum bulanan semasa negara iaitu RM1,200 (AS$283) boleh disemak semula dan dinaikkan kerana kerajaan berkemampuan untuk menampung kenaikan itu," kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Abdul Wahid yang kini pengerusi Bursa Malaysia Bhd berkata, ini dapat dilakukan secara berperingkat dalam waktu tertentu untuk memberi masa yang cukup kepada perniagaan merancang dengan sewajarnya.

Katanya, ini juga boleh menggalakkan mereka mempertingkatkan automasi serta memperbaik proses mereka dan seterusnya mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk pekerja tempatan.

"Penting bagi semua majikan untuk memastikan pekerja mereka diberi imbuhan yang cukup dan disediakan kemudahan yang baik selain persekitaran kerja yang aman dan kondusif.

"Saya rasa sebenarnya ada ruang untuk kenaikan gaji dari masa ke masa, tetapi apa yang penting bagi kerajaan adalah menetapkan sasaran jangka panjang atau jangka pertengahan," katanya pada sidang media secara maya di luar majlis Sidang Kemuncak APAC 2021 di sini, semalam.

Gaji minimum kali terakhir disemak pada 1 Februari tahun lalu, dengan kenaikan RM100.

Katanya, perniagaan diharap mengambil inisiatif untuk menawarkan imbuhan yang setimpal untuk pekerja mereka dan bukannya menunggu kerajaan mengumumkan dasar baharu mengenai gaji minimum.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, kewangan Islam memiliki potensi pertumbuhan global yang pesat seiring gerakan seluruh dunia yang kian rancak ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG), susulan persamaan kedua-duanya.

Katanya, instrumen yang memenuhi prinsip syariah juga menepati keperluan ESG memandangkan kriteria kedua-duanya adalah sama, termasuk transaksi asas yang sah, tidak bersifat spekulasi dan tidak memudaratkan manusia, masyarakat dan alam sekitar.

"Terdapat banyak peluang dalam kewangan sosial Islam apabila kita keluar daripada pandemik Covid-19.

"Saya berpandangan kewangan Islam tidak bersaing dengan ESG, sebaliknya ia amat melengkapi (dari segi sifat) dan apabila ESG semakin memperoleh daya tarikan, demikian juga dengan kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata, menerima dan mengamalkan prinsip ESG serta komited terhadap matlamat pelepasan karbon sifar bersih bukan lagi satu pilihan namun kemestian demi kelangsungan korporat, dengan lebih 130 negara dijangka komited terhadap matlamat pelepasan karbon sifar bersih pada 2050 hingga 2060.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 7:11am
d