bisnes

Pengiktirafan kali ke-12 berturut-turut

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: AirAsia sekali lagi diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2021 yang diumumkan, malam tadi.

Ia adalah pengiktirafan kali ke-12 berturut-turut untuk AirAsia.

Kemenangan ini selepas syarikat penerbangan ini mendapat pengiktirafan teratas untuk Inovasi Perniagaan di Anugerah Strategi Penerbangan Flight Global 2021, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pencapaian itu adalah satu penghormatan yang besar berikutan industri penerbangan komersial berdepan dengan situasi yang paling mencabar dalam sejarah.

"Sebagai sebuah jenama untuk semua yang menerbangkan tidak kira sesiapa sahaja dan memberikan keutamaan kepada kakitangannya, anugerah yang diterima selama 12 tahun berturut-turut ini amat istimewa kerana ia dinilai oleh berjuta-juta tetamu yang terbang bersama kami sebelum pandemik melanda pada Mac 2020.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Skytrax yang terus mengutamakan pilihan pengguna sebagai penanda aras untuk anugerah ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, anugerah ini juga ditujukan khas kepada semua kakitangannya iaitu Allstars, atas komitmen, ketekunan dan dedikasi sepanjang pandemik ini serta tidak mudah mengalah apabila berdepan dengan pelbagai krisis.

"Apa yang kami capai selama 18 bulan lepas dalam tempoh sekatan perjalanan amat luar biasa.

"Kami sudah mengubah AirAsia sebagai satu jenama syarikat penerbangan terkemuka di Asia kepada aplikasi perjalanan dan gaya hidup sehenti yang menawarkan lebih daripada tawaran perjalanan udara demi menjadikan kami kembali lebih kuat dalam dunia pasca-Covid-19," katanya.

Katanya lagi, dengan kadar vaksinasi yang terus meningkat di AirAsia Group, pihaknya bersedia untuk kembali 'terbang' tinggi selain komited menawarkan nilai terbaik serta mengutamakan penggunanya di seluruh perkhidmatannya.

Keputusan tahun ini ditentukan berdasarkan tinjauan yang dibuat ke atas 13.42 juta peserta dari lebih 100 negara, dengan 88 peratus daripadanya didaftarkan hingga bulan Mac 2020 iaitu sebelum pandemik bermula.

Disiarkan pada: September 29, 2021 @ 3:06pm
d