bisnes

Artisans, Affin Bank jalin kerjasama sokong PKS

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Sebuah platform e-dagang Malaysia yang didedikasikan untuk menyokong artisan dan pengusaha tempatan, The Artisans Haven (TAH) memperluas sokongan dalam perkhidmatan Smart Solutions dengan kerjasama Affin Bank Berhad (Affin Bank).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama TAH, Jade Lee berkata, perkhidmatan itu ditubuhkan khas bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengharungi dunia digital yang pantas berkembang dengan 15 penyelesaian teknologi yang merangkumi pelbagai kategori.

Katanya, selaras dengan visi TAH, pihaknya komited menyokong penggunaan digital dalam kalangan PKS terutama bidang e-dagang.

"Walaupun PKS adalah tulang belakang bagi industri perniagaan negara ini yang merangkumi 98.5 peratus, namun penggunaan digital di kalangan PKS agak ketinggalan berbanding perusahaan besar yang lain.

"Oleh sebab itulah, kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan Affin Bank bagi menyokong PKS Malaysia melalui SME Colony," katanya menerusi kenyataan media pelancaran perkhidmatan Smart Solution bersama Affin Bank, hari ini.

Jade berkata, sebagai sebahagian daripada kolaborasi ini, TAH turut menyusun 15 penyelesaian perniagaan berguna dengan tawaran menarik, bagi menyokong semua PKS dalam SME Colony.

"Kami juga sentiasa mencari alat perniagaan dan penyelesaian teknologi yang lebih berpatutan namun kompetitif bagi membantu melengkapkan perniagaan dengan strategi terbaik untuk membawa jenama PKS ke tahap seterusnya.

"Untuk sasaran, TAH merancang meningkatkan penawaran penyelesaian pintar kepada 30 perkhidmatan menjelang Jun tahun depan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perbankan Perusahaan Affin Bank Lim Kee Yeong berkata, pihaknya komited dalam pertumbuhan PKS dalam tempoh jangka panjang terutama dalam penyelesaian kewangan.

"Affin Bank menawarkan aplikasi SME Colony yang memberikan peluang pembabitan dan kerjasama dalam komuniti PKS.

"Kolaborasi bersama dengan komuniti PKS yang unik ini membuktikan perkongsian adalah suatu keperluan, terutama pada masa-masa yang mencabar ini," katanya.

TAH Smart Solutions juga menawarkan pemahaman mendalam mengenai motivasi, latihan sumber manusia, penghantaran, kredit dan pelbagai perkhidmatan lain untuk meningkatkan daya saing PKS.

Usahawan dan PKS yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran yang disediakan boleh layari laman web TAH di www.artisanshaven.com.my/get_smart.

Disiarkan pada: September 29, 2021 @ 3:13pm
d