bisnes

LPP keluar minyak masak jenama sendiri

LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor mengeluarkan minyak masak jenamanya sendiri, Peladang sejak bulan lalu bagi memberikan pilihan produk bermutu kepada masyarakat.

Pengarah LPP Negeri Johor, Datuk Sawalludin Ahmad berkata, minyak masak Peladang mula dipasarkan di semua Peladang outlet selain pasar raya terpilih, sejak 9 September lalu.

Katanya, minyak masak yang dikeluarkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simpang Renggam itu juga mula menembusi pasaran negeri lain termasuk Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.

"Buat julung kalinya, LPP Negeri Johor menerusi PPK Simpang Renggam mengeluarkan produk minyak masak dengan jenama Peladang.

"Kami mengeluarkan minyak masak sebagai langkah proaktif melengkapkan rantaian produk makanan dikeluarkan LPP Negeri Johor.

"LPP mempunyai rangkaian pasaran luas kerana mempunyai 30 Pergerakan Pertubuhan Peladang, 700 unit peladang, selain 106,484 ahli Peladang di seluruh negara.

"Sejak dipasarkan 9 September lalu, PPK Simpang Renggam yang mempunyai dua kilang sawit di Kahang mengeluarkan 46 tan minyak sawit untuk pasaran tempatan," katanya selepas sesi dialog pada Program Mengukuh Integriti dan Menangani Rasuah Dalam Penjawat Awam di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor, di sini.

Dalam pada itu, Sawalludin berkata, minyak masak Peladang itu dikeluarkan dalam bentuk botol lima kilogram (kg) dan dua kg, yang masing-masing dipasarkan di bawah harga siling iaitu pada harga RM28.50 dan RM12.50.

Sementara itu, Pengurus Besar PPK Simpang Renggam, Eddlie Ismail, berkata sebanyak 9,000 botol minyak masak berkenaan sudah dikeluarkan di pasaran, sejak bulan lalu.

Katanya, pihaknya menyasarkan untuk mengeluarkan sejuta botol minyak masak setahun dengan sasaran keuntungan RM500,000.

"Minyak masak 'Peladang' turut akan dieksport ke luar negara berikutan menerima pertanyaan daripada Filipina dan Singapura yang berminat untuk memasarkannya.

"Kami turut menerima jemputan untuk menyertai Expo Perdagangan di Dubai Februari depan, bagi mempamerkan produk minyak masak 'Peladang' selain produk LPP yang lain," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2021 @ 12:49pm
d