bisnes

Bantu PKS terkesan

Kuala Lumpur: Peralihan ke fasa endemik tidak lama lagi sedikit sebanyak memberi sinar baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan.

Kegiatan ekonomi di Malaysia nyata terkesan setelah hampir dua tahun Covid-19 melanda dunia, terutama terhadap PKS.

Berita Harian (BH) dan REV Media Group mengambil inisiatif untuk membantu usahawan PKS dengan menganjurkan Forum Perniagaan PKS BH 2021 bertujuan mengupas persoalan serta iltizam untuk terus bangkit, mendepani cabaran masa depan PKS.

"Terdapat hampir 960,000 PKS di Malaysia yang terkesan sepanjang pandemik ini sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

"Sebagai penyumbang 48 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan tujuh juta peluang pekerjaan, PKS harus mampu berdaya saing kembali," kata REV Media dalam satu kenyataan.

Forum Perniagaan PKS BH 2021 yang bakal berlangsung dua hari pada 14 dan 15 Oktober ini mengumpulkan ahli panel jemputan yang arif dalam industri PKS bagi memaklumi masalah dan realiti sebenar pengusaha PKS, mengenal pasti usaha yang boleh dilakukan PKS, seterusnya membincangkan inisiatif dan galakan pelbagai pihak untuk menyokong proses kebangkitan semula PKS.

Antara pakar industri yang berkongsi pandangan, pengalaman dan cabaran adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz; Ketua Jualan dan Pengurusan Akaun Perniagaan Celcom Axiata Bhd, Iskandar Dzulkarnain Abd Razak; Ketua Pegawai Kewangan, Bukit Bintang City Centre (BBCC), Farizal Zainudin dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.

"Pendigitalan operasi perniagaan menjadi satu keperluan kepada PKS untuk terus kukuh dan berdaya saing dalam persekitaran perniagaan global yang sentiasa berubah seiring perkembangan teknologi.

"Sebagai peneraju ekonomi digital negara, MDEC sedia menyokong transformasi digital PKS di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif di bawah kempen #SayaDigital, yang selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL)," kata Mahadhir dalam kenyataan sama.

Turut menjayakan forum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara, Muhd Firdaus Azharuddin; Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin; pengasas Terato Tech, Reza Razali dan pengasas Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli yang akan berkongsi kisah jatuh bangun mereka dalam perusahaan diusahakan.

Terdapat lima sesi untuk dua hari (dua forum pada hari pertama dan tiga forum pada hari kedua) akan disiarkan secara langsung menerusi laman web mikro Forum Perniagaan PKS BH 2021.

Orang ramai yang ingin menyaksikannya boleh mendaftar di https://www .bharian.com. my/bhsme dan boleh turut serta dengan bertanyakan soalan, berkongsi pengalaman dan meninggalkan komen ketika forum berlangsung.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 7:02am
d