bisnes

Bulan celik kewangan

Kuala Lumpur: Perkembangan pesat teknologi digital pasca pandemik Covid-19 meningkatkan keperluan bakat digital dan ekonomi perkongsian bagi rakyat Malaysia, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Katanya, ia membuktikan perlunya perubahan dalam cara rakyat meneroka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.

Justeru, Tengku Zafrul berkata, pelancaran Bulan Literasi Kewangan (FLM 2021) anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) diharap akan dapat menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran, latihan semula dan menjana pendapatan terutama melalui platform digital.

"Peluang ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pekerja gig serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terjejas akibat pandemik, bagi membuka peluang menambah pendapatan isi rumah.

"Bagaimanapun, perubahan ini perlu hadir bersama ilmu pengurusan wang untuk membina daya tahan kewangan pada masa hadapan," katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada majlis pelancaran itu, secara maya, semalam.

Tengku Zafrul berkata, pengalaman rakyat Malaysia selama 19 bulan lalu dalam mengharungi saat-saat getir pandemik perlu dijadikan iktibar untuk merancang kewangan dengan lebih baik.

"Bagi semua lapisan rakyat dan tanpa mengira sumber mata pencarian kita, mustahak kita menerapkan ilmu pengurusan wang yang mendalam bagi membina daya ketahanan kewangan yang tinggi," katanya.

Menurutnya, FLM2021 juga menawarkan khidmat nasihat kewangan dan panduan kepada rakyat terutama yang terkesan akibat Covid-19 dan penekanan aspek ini amat bertepatan dengan usaha untuk membantu rakyat, lebih-lebih lagi dalam masa yang mencabar ini.

"Inisiatif FLM 2021 juga akan menjelaskan berkenaan modus operandi terkini skim seperti Macau Scam dan cara-cara mengelak daripada menjadi mangsa penipuan kewangan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia mendapati sepanjang 2019 hingga Jun lalu, 5,527 kes penipuan Macau Scam direkodkan membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM327.9 juta.

FEN menjalankan lebih 400 inisiatif bermula Januari 2020 hingga Julai 2021, yang membabitkan hampir 47 juta interaksi bersama rakyat.

Edisi kedua FLM 2021 yang bertemakan 'Tentukan Hala Tuju Kewangan Anda, Jaga Diri dan Bertindak dengan Bijak' sepanjang bulan Oktober ini adalah berdasarkan lima strategi utama yang digariskan dalam Strategi Kebangsaan.

Lima strategi tersebut adalah menyemai nilai murni dari usia muda; meningkatkan akses kepada maklumat, instrumen dan sumber pengurusan kewangan; memupuk tabiat kewangan yang positif dalam kalangan kumpulan sasaran, khususnya belia dan golongan pekerja, termasuklah yang bekerja sendiri; memperkasa amalan perancangan kewangan jangka panjang dan persaraan dan mengumpul dan melindungi harta.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 7:03am
d