bisnes

Rangsang pembelian barangan buatan Malaysia

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Program 'My Gaya Month' yang menghimpunkan 30 pereka fesyen dan penggiat kreatif tanah air dijangka membantu memulihkan ekonomi mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 serta merangsang ekonomi negara melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerjasama yang baik antara industri fesyen dan gaya hidup bersama kementeriannya diharap menjayakan KBBM 2021.

"KBBM 2020 mencatatkan nilai jualan sebanyak RM3.3 bilion berbanding 2019, peningkatan itu juga melebihi 326,000 unit penyimpanan stok.

"Malah, peningkatan itu turut dapat dilihat menerusi portal dalam talian 'marketplace' berbanding tahun sebelumnya yang mencatat nilai jualan melebihi RM145 juta," katanya dalam ucapan ketika merasmikan 'My Gaya Month' anjuran Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA) sempena KBBM 2021 secara maya, hari ini.

Menurutnya, KBBM memainkan peranan utama dalam memastikan ekonomi domestik terus kekal berdaya saing serta mampu mengharungi cabaran Covid-19.

"Program 'My Gaya Month' yang dilaksanakan oleh MBDA yang menyatukan pelbagai jenama fesyen bagi menaik taraf pasaran tempatan dan seterusnya ke pasaran global adalah satu contoh yang perlu diberi pujian serta galakan.

"Ini menunjukkan pihak MBDA sentiasa aktif dalam merancang serta melaksanakan inisiatif bagi menyokong pelan kerajaan dalam menyemarakkan semula ekonomi domestik dengan mengambil kira pelbagai sektor industri termasuk industri fesyen," katanya.

Menurutnya, usaha itu juga digembleng ke arah menjana faktor pemangkin bagi melonjakkan lagi keyakinan, peluang serta tapak buat jenama fesyen tempatan supaya semakin dikenali di persada antarabangsa.

Sementara itu, Pengasas MBDA Bon Zainal Harun berkata, idea 'My Gaya Month' tercetus bagi merealisasikan kempen bersama sejajar dengan matlamat kerajaan membantu pereka dan pengiat seni tanah air untuk lebih berdaya saing serta bersemangat untuk berkarya sekaligus mengetengahkan kreativiti tempatan di mata dunia.

"Kita berharap dengan berlangsungnya program ini akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai barangan buatan Malaysia adalah berkualiti dan mampu bersaing dengan produk antarabangsa.

"Selain itu, ia dapat menerapkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membeli barangan buatan Malaysia dan juga inisiatif ini bertindak sebagai satu stimulasi pembangunan ekonomi melalui pembelian barangan tempatan," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 1:21pm
d