bisnes

TM mulakan proses peralihan pelanggan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) memulakan proses migrasi atau peralihan pelanggan perkhidmatan jalur lebar, unifi kepada protokol internet (IP) peribadi bagi membolehkan mereka menikmati sambungan lebih lancar dan selamat.

Dalam kenyataan, syarikat itu berkata, peralihan itu disebabkan peningkatan penggunaan internet yang pesat dan menyebabkan kalangan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) global mengalami kekurangan alamat IPv4.

"Usaha peralihan itu membabitkan pelanggan unifi yang melanggan pelan pakej 30 megabit sesaat (Mbps), 50Mbps dan 100Mbps dan menggunakan alamat IP IPv4 awam yang dinamik.

"Proses itu dijalankan secara jarak jauh dari pihak kami dan pelanggan terbabit tidak perlu melakukan apa-apa atau mengambil sebarang tindakan di peringkat mereka," katanya.

Bagaimanapun, TM berkata, pelanggan yang menggunakan kamera litar berteraskan IP dan hos dikenali, tidak mengalami sebarang impak kerana dikecualikan daripada langkah peralihan itu.

"Aktiviti ini sedang dijalankan dengan gangguan minimum, jika ada pun sekitar dua dan lima minit.

"Apabila proses itu selesai, prestasi sambungan internet pelanggan tidak terjejas dan pelanggan terbabit dimaklumkan dengan lebih awal," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 7:54am
d