bisnes

Pendekatan senegara

BAJET 2022 disifatkan sebagai satu usaha input dari rakyat melalui pelaksanaan dengan semua pihak untuk menyampaikan manfaat kepada rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, belanjawan yang dianggap dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat itu berpegang kepada konsep pendekatan senegara ().

"Kementerian Kewangan (MOF) sudah menjalankan program Jelajah #Bajet2022 untuk turun padang bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan.

"Ini adalah untuk memastikan Bajet 2022 adalah bajet yang inklusif, menyeluruh, telus dan berimpak tinggi.

"Program ini juga adalah tambahan kepada Portal Belanjawan 2022 yang bertujuan untuk mendapat maklum balas dari pelbagai lapisan masyarakat," katanya dalam Laporan Laksana ke-73, semalam.

Menurutnya, secara keseluruhannya, MOF mengadakan 28 sesi kumpulan fokus yang membabitkan wakil dari pelbagai industri dari semua sektor ekonomi.

"Sebanyak 76 sesi libat urus secara langsung bersama semua kementerian, termasuk menteri masing-masing dan pihak pembangkang dari Pakatan Harapan.

"Lapan siri jelajah negeri, iaitu Johor, Kedah, Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Selangorm turut diadakan.

"Setakat ini, MOF menerima lebih 1,200 maklum balas bagi Kertas Konsultasi Awam (KKA); lebih 1,000 memorandum melalui 105 entiti bagi cadangan Bajet 2022 dan kira-kira 50,000 cadangan melalui Portal Cadangan Bajet 2022.

"Bagi KKA, antara maklum balas paling banyak diterima adalah berkaitan penambahbaikan program bantuan tunai kerajaan dan kajian insentif cukai," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, krisis pandemik Covid-19 memberi empat iktibar kepada negara.

"Iktibar pertama berkisar persediaan kita untuk menghadapi kemungkinan sesuatu pandemik lain akan berlaku pada masa depan.

"Covid-19 berkemungkinan bukan pandemik terakhir akan menyerang negara. Justeru, kita mesti memastikan ia adalah krisis terakhir memerangkap kita dalam satu kancah getir. Jangan kita sekali lagi terpaksa membuat pilihan antara menyelamatkan nyawa dengan mata pencarian.

"Iktibar kedua, peralihan ke arah digitalisasi adalah sangat penting. Digitalisasi adalah satu atau pengubah keadaan yang dapat merapatkan jurang pendapatan dalam masyarakat," katanya.

Menurutnya, iktibar ketiga daripada krisis ini adalah membina rantaian bekalan strategik.

"Pada permulaan krisis, kita bergelut memperoleh atau menghasilkan pelitup muka, ventilator, alat bantuan pernafasan dan peralatan perubatan lain diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.

"Ini masa terbaik untuk menerapkan konsep kelestarian dalam rantaian bekalan kita, termasuk sosial dan persekitaran kerana isu kelestarian dan keuntungan tidak lagi saling eksklusif.

"Iktibar keempat, ini peluang terbaik untuk kita mengambil pendekatan strategik terhadap isu struktur yang selama ini menghalang kita daripada mencapai potensi sebenar sosioekonomi negara.

"Dengan usaha pemulihan negara kian giat menjana momentum, kita mampu beredar daripada pandemik ini dengan lebih kuat dan kukuh.

"Kita perlu membina atas daya momentum ini, mencapai impian kita untuk melonjakkan Malaysia kembali, malah menjadi negara lebih baik daripada sebelumnya," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 7:00am
d