bisnes

Dijangka pulih suku ke-4 2021

Oleh Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas disebabkan oleh pandemik Covid-19 sebelum ini dijangka kembali pulih secara berperingkat pada suku keempat tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Tan Sri Noh Omar berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kepada kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk sektor ekonomi kembali beroperasi termasuk kebenaran rentas negeri.

Beliau berkata, apabila kebenaran rentas negeri diberikan semula, perniagaan kembali dibuka dan ia membolehkan peniaga PMKS untuk kembali bernafas.

"Malah, jumlah perniagaan yang terpaksa gulung tikar juga dijangka semakin berkurangan dengan langkah berterusan kerajaan, termasuk Medac untuk membantu memulihkan ekonomi peniaga," katanya selepas melancarkan program e-Showcase Koperasi dan Usahawan Wanita (e-BizNITA) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Medac, Datuk Suriani Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Medac, Datuk Zamri Salleh; Penasihat SME, Bank Islam Malaysia Bhd, Datuk Hafsah Hashim dan Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (Usahanita), Datuk Faridah A Jabbar.

Kajian yang dijalankan oleh Medac sebelum ini mendapati sebanyak 37,415 usahawan gulung tikar dan daripada jumlah itu, sebanyak 26,007 adalah mikro dan bakinya 2,738 adalah PKS.

Noh berkata, walaupun PMKS dijangka mulai pulih, beliau tidak menafikan masih terdapat banyak usahawan yang tidak mampu untuk meneruskan operasi atas pelbagai faktor.

"Justeru, saya sudah mengarahkan semua agensi di bawah Medac untuk memudahkan usahawan PMKS dalam mendapatkan bantuan kewangan seperti geran dan pinjaman.

"Tidak perlu susahkan mereka dengan birokrasi. Saya sudah arahkan tidak perlu lagi melihat CCRIS atau CTOS, tetapi terus beri bantuan yang diperlukan. Ini adalah komitmen Medac dalam usaha memperkasakan usahawan PMKS," katanya.

Mengenai e-BizNITA, Noh berkata, ia program dalam talian bagi memperkasakan perniagaan dan meluaskan penguasaan jualan usahawan wanita.

Beliau berkata, usahawan wanita mempunyai potensi untuk dimajukan serta mengorak langkah lebih jauh lagi pasca pandemik Covid-19.

Katanya, berdasarkan bancian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2016, semakin ramai wanita dilihat menceburi bidang keusahawanan dan peratusan perniagaan milikan wanita yang berdaftar adalah 20.6 peratus atau 187,000 perniagaan daripada keseluruhan 907,065 perniagaan.

"Namun, saya yakin jumlah peratusan sebenar mungkin lebih tinggi daripada yang direkodkan kerana ramai lagi usahawan wanita yang berniaga secara informal atau tidak berdaftar.

"Disebabkan itu, e-BizNITA platform terbaik mereka memperluaskan jualan secara dalam talian," katanya.

e-BizNITA berlangsung selama tujuh hari bermula 25 Oktober sehingga 31 Oktober 2021 membabitkan 286 usahawan PMKS serta koperasi wanita.

Program pertama kali dianjurkan Medac itu adalah kerjasama dengan semua agensinya termasuk Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 8:40am
d