bisnes

RM90.25 bilion pengeluaran KWSP berjaya dikreditkan

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Sebanyak RM90.25 bilion pengeluaran dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya dikreditkan kepada ahli melalui tiga skim pengeluaran yang diperkenalkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, skim pengeluaran i-Citra yang diumumkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), merekodkan jumlah pengeluaran kumulatif yang diluluskan sebanyak RM21.4 bilion setakat Oktober lalu.

"Skim ini membabitkan 5.2 juta pemohon.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM10.85 bilion telahpun berjaya dikreditkan kepada ahli," katanya dalam Laporan Laksana ke-76 yang dikeluarkan hari ini.

i-Citra membenarkan ahli KWSP untuk membuat

pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Kemudahan ini dapat menyalurkan sebanyak RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Menurutnya, bagi skim pengeluaran i-Sinar pula, setakat 4 Oktober lalu, pengeluaran kumulatif yang telah berjaya

dikreditkan adalah sebanyak RM58.6 bilion, yang membabitkan 6.57 juta pemohon.

"Inisiatif ini diperkenalkan oleh kerajaan dengan kerjasama KWSP untuk membolehkan ahli KWSP untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 1 mulai 8 Mac 2021.

"Beberapa penambahbaikan telahpun diperkenalkan dengan i-Sinar Tanpa Kriteria yang membenarkan semua ahli KWSP (termasuk pemastautin tetap dan bukan negara) yang berumur 55 tahun ke bawah dan mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM150 untuk turut membuat pengeluaran," katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi skim i-Lestari yang bermula pada April 2020 sehingga Mac tahun ini, pada akhir pengeluaran April lalu, jumlah pengeluaran kumulatif adalah sebanyak RM20.8 bilion dan membabitkan 5.27 juta penerima.

"Skim ini memudahkan pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Pengeluaran maksimum adalah sebanyak RM500 sebulan dan bergantung kepada jumlah baki yang terdapat

di dalam Akaun 2 KWSP," katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 6:03pm
d