bisnes

Malaysia Airlines-SIA aktifkan semula perkongsian kod

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd dan Singapore Airlines (SIA) akan mengaktifkan semula pengaturan perkongsian kod mereka antara Singapura dan Kuala Lumpur serta memperluaskannya untuk merangkumi 15 destinasi domestik di Malaysia, tujuh destinasi di Eropah dan dua bandar di Afrika Selatan.

Kedua-dua syarikat penerbangan berkata, ini susulan pengumuman bahawa Malaysia dan Singapura akan melancarkan pengaturan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara mulai 29 November, menyediakan perjalanan yang lancar kepada pelanggan untuk perniagaan atau perjalanan santai/riadah mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat penerbangan itu berkata, pengembangan besar pengaturan perkongsian kod di Malaysia dan melangkaui kedua-dua negara, berlaku di tengah-tengah pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur selain peningkatan dalam permintaan untuk perjalanan udara.

Mulai 29 November, pelanggan SIA dapat menyambung secara progresif menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines di luar Kuala Lumpur apabila syarikat penerbangan itu menambah 15 destinasi perkongsian kod baharu di Malaysia, kata mereka.

Ini termasuk Alor Setar, Bintulu, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Kuantan, Kuching, Labuan, Langkawi, Miri, Pulau Pinang, Sandakan, Sibu, dan Tawau.

Kenyataan bersama itu turut menyatakan mulai 1 Januari 2022, pelanggan Malaysia Airlines akan dapat berhubung melalui penerbangan SIA dari Singapura ke tujuh destinasi di Eropah yang termasuk Barcelona, Copenhagen, Frankfurt, Moscow, Munich, Rom dan Zurich, serta Cape Town dan Johannesburg di Afrika Selatan.

Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 8:42am
d