bisnes

Selangor komited jadi hab penerbangan perniagaan [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Selangor komited untuk menjadi hab penerbangan perniagaan dan awam di rantau Asia Tenggara.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, kerajaan negeri merealisasikan hasrat itu dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Katanya, Selangor menerusi Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) kini giat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai syarikat penerbangan seluruh dunia untuk menjadikan negeri ini lokasi pilihan untuk penyelenggaraan pesawat dan penerbangan.

Beliau berkata, Selangor Aviation Show (SAS) 2021 adalah platform terbaik mengumpulkan pemain industri seluruh dunia untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan dunia penerbangan perniagaan dan awam.

"Selangor memiliki potensi dan tarikan untuk industri pembuatan dan penyelenggaraan.

"Kerajaan negeri juga membina ekosistem kukuh di Selangor untuk menjadikan negeri ini sebagai hab penerbangan perniagaan dan awam di rantau Asia Tenggara," katanya dalam sidang media selepas merasmikan SAS 2021 di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari.

SAS 2021 berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga Sabtu mengumpulkan pakar industri penerbangan tempatan dan luar negara.

Menerusi SAS 2021 ini, pemain industri bertukar pandangan dan kepakaran masing-masing dalam bidang pembuatan dan penyelenggaraan pesawat selain terdapat pameran pesawat serta helikopter.

Dalam pada itu, Chang Khim berkata, sebuah syarikat pembuatan pesawat dari Turki turut menyatakan minat membuka kilang di Selangor.

Katanya, Selangor mencadangkan Serendah sebagai lokasi pembuatan pesawat kepada syarikat berkenaan.

"Kerajaan negeri memberikan bantuan dari segi pelesenan dan prosedur pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan pembinaan kilang itu kelak.

"Sepang dan Subang juga dibangunkan sebagai lokasi bagi penyelenggaraan pesawat pada masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 7:06am
d