bisnes

Bank mula umumkan bantuan untuk pelanggan terjejas banjir

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Sebahagian besar bank di Malaysia mula mengumumkan pelbagai bantuan untuk pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir.

Bantuan yang diberikan meliputi pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Affin Bank Berhad (Affin Bank) dan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic Bank) mengumumkan akan menawarkan bantuan moratorium sehingga enam bulan di bawah inisiatif yang dikenali sebagai Program Bantuan Kewangan dan Bantuan Ansuran (FAIR) kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, Program FAIR ialah penyelesaian bantuan kewangan yang disesuaikan dengan profil dan keadaan semasa pelanggan dalam waktu yang mencabar ini, untuk pelanggan dari pelbagai segmen iaitu individu, pelanggan PKS dan korporat.

"Kami amat prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia yang terjejas yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengambil maklum bahawa mereka juga mempunyai keutamaan lain yang lebih penting serta keperluan kewangan pada masa ini.

"Kami berharap melalui FAIR ini akan dapat membantu meringankan sebarang kesulitan kewangan yang dihadapi dalam waktu mencabar ini serta membantu mereka meneruskan rutin harian secepat mungkin," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, program bantuan kewangan itu juga merangkumi penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan, serta moratorium pembayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan dan akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

Pelanggan yang terjejas boleh mula membuat permohonan untuk program bantuan kewangan ini pada 22 Disember 2021.

Sementara itu, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyediakan Bantuan Prihatin Banjir untuk membantu pelanggan pembiayaan yang terjejas.

Di bawah inisiatif itu, pelanggan yang mempunyai kemudahan pembiayaan BIMB boleh memohon bantuan kewangan untuk tempoh sehingga enam bulan terhadap komitmen bulanan mereka, tertakluk kepada terma

dan syarat yang ditetapkan.

Selain itu, BIMB juga tidak akan mengenakan sebarang bayaran bagi penggantian kad ATM dan debit serta buku cek yang rosak atau hilang ekoran bencana yang berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, BIMB sentiasa mengikuti perkembangan di seluruh kawasan yang terjejas dan prihatin dengan kesukaran yang dialami pelanggan dalam menghadapi situasi semasa.

"Kami mengambil langkah proaktif bagi membantu pelanggan kami yang terjejas.

"Kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi salah satu keutamaan Kumpulan BIMB. Kami berharap Bantuan Prihatin Banjir ini dapat melegakan kebimbangan pelanggan terhadap komitmen kewangan mereka dalam mendepani situasi yang mencabar ini.

"Selain itu, BIMB turut berusaha untuk menyediakan sokongan yang diperlukan kepada masyarakat umum yang terkesan dengan situasi semasa," katanya dalam kenyataan.

Permohonan Bantuan Prihatin Banjir boleh dibuat di cawangan BIMB berhampiran.

BIMB juga menasihati pelanggan yang memerlukan bantuan agar berbincang dengan pihak Bank untuk membuat pilihan bantuan pembiayaan yang mereka perlukan.

Selain itu, pelanggan Ambank Group yang terjejas akibat banjir turut ditawarkan moratorium sehingga enam bulan untuk semua kemudahan pinjaman dan pembiayaan termasuk kemudahan kad kredit, tanpa caj lewat atau penalti dikenakan sepanjang tempoh moratorium.

Pelanggan yang ingin mengganti buku simpanan, buku cek, sijil simpanan tetap, ATM, kad Kredit dan Debit akan dikecualikan daripada semua caj sampingan dan penggantian, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank Group Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

"Ini adalah tempoh mencabar untuk rakyat Malaysia. Bank komited untuk menyediakan bantuan banjir kepada semua pelanggan kami yang terjejas melalui Program Bantuan Banjir kami. Ingatan dan doa kami di AmBank Group adalah untuk mereka yang terjejas akibat banjir," katanya dalam kenyataan.

Pelanggan AmBank yang mengalami kesukaran dan gangguan akibat banjir boleh menghubungi cawangan terdekat atau Pusat Panggilan 24 jam AmBank di talian 03-2178 8888.

Sementara itu, Maybank, OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin); Public Bank dan Public Islamic Bank; Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB), Bank Muamalat serta RHB Banking Group (RHB) turut mengumumkan langkah sama untuk membantu meringankan beban pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Pelanggan dinasihati menghubungi bank masing-masing untuk mendapatkan perincian berkaitan bantuan yang disediakan.

Disiarkan pada: December 20, 2021 @ 1:39pm
d