bisnes

AmBank, KIP Group tawar bayaran guna mTAP

AMBANK bekerjasama dengan KIP Group untuk menawarkan ciri pembayaran tanpa tunai melalui mTAP yang membolehkan telefon pintar milik peniaga diubah menjadi terminal pembayaran.

Ia membolehkan peniaga menerima pembayaran dari pelanggan menggunakan kad debit atau kredit tanpa perlu mendapatkan terminal tambahan lebih mahal.

Ciri itu ditawarkan bagi peniaga di premis milik KIP Group di KIPMall Kota Warisan bagi membolehkan transaksi selamat dan mudah.

Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank, Aaron Loo berkata, terdapat peningkatan permintaan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi kaedah pembayaran tanpa sentuh yang mudah dan pantas.

Katanya, pembayaran digital dipercepatkan oleh pandemik dengan orang ramai semakin memilih transaksi tanpa tunai.

"Kami gembira bekerjasama dengan KIPMall untuk menyediakan keselesaan mTAP kepada penyewa dan pelanggan.

"Menerusi mTAP, kami dapat terus menambah nilai rakan peniaga melalui perkhidmatan tambahan seperti PayG yang membolehkan mereka mendapatkan pinjaman pantas menerusi akaun saudagar kami," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KIP Group of Companies, Valerie Ong berkata, transaksi tanpa tunai sudah direvolusi khususnya dalam bidang peruncitan.

Beliau berkata, pemilik perniagaan di KIPMall Kota Warisan dan pelanggan mulai beradaptasi dengan peralihan kepada pembayaran digital.

Disiarkan pada: January 6, 2022 @ 7:20am
d