bisnes

Pendaftaran QR naik 164%

PANDEMIK Covid-19 mencetuskan kemajuan teknologi dalam sektor kewangan khususnya melalui penyelesaian digital.

Pada 2020, pendaftaran perniagaan bagi penggunaan QR meningkat 164 peratus dan transaksi perbankan dalam talian meningkat 49 peratus berbanding sebelum pandemik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor kewangan juga terus menyokong pengguna dan perniagaan sepanjang pandemik dengan menawarkan bantuan pembayaran balik pinjaman dan memudahkan kemudahan penstrukturan semula pinjaman.

"Antara tempoh 1 Jun hingga 24 Disember 2021, lebih 2.7 juta peminjam individu dan lebih 95,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat bantuan pembayaran balik pinjaman.

"Bersama-sama dengan usaha kerajaan untuk menggiatkan semula ekonomi, pembiayaan kepada PKS dilihat kekal kukuh, meningkat 4.6 peratus pada November 2021.

"Secara kumulatif, agihan pinjaman dalam tempoh 11 bulan 2021 ialah RM281 bilion," katanya pada pembukaan MyFintech Week 2022 (MyFW 2022) dan pelancaran Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 secara maya, semalam.

Menurutnya, sejak kemerdekaan negara, sektor kewangan menjadi kritikal kepada pembangunan ekonomi dan merealisasikan aspirasi negara, apabila jutaan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah sendiri, membina kekayaan dan melindungi keluarga.

Katanya, perniagaan di Malaysia pula boleh berurus niaga dengan pelanggan dan pembekal dengan lebih lancar, mengumpul modal untuk membiayai operasi harian mereka dan berkembang ke pasaran baharu.

"Antara 2011 dan 2020 saja, kita melihat populasi dewasa dengan akaun deposit meningkat daripada 82 peratus kepada hampir 96 peratus; kredit domestik kepada sektor swasta sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 108 peratus kepada 134 peratus dan transaksi e-pembayaran per kapita meningkat daripada 49 kepada 170," katanya.

Tengku Zafrul berkata, beliau turut menantikan kewujudan bank digital, penanggung insurans digital dan pengendali takaful.

"Kesan mereka kepada pembangunan negara melalui penggunaan teknologi dan pengenalan penyelesaian kewangan yang inovatif akan meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia, memupuk kecekapan lebih besar dan menyumbang ke arah landskap kewangan yang lebih kompetitif," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2022 @ 6:05am
d