bisnes

Kambing perap licin 24 jam

PERNAH bergelar juruteknik dan mengendalikan tender projek bernilai RM10 juta namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi tamparan hebat buat dirinya.

Muhamad Fitri Borham berasal dari Kluang, Johor memiliki Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan serta meneruskan kerjaya dalam bidang pembinaan selepas tamat pengajian.

Bagaimanapun, pelaksanaan PKP pada Mac 2020, menjadi titik awal perubahan hidupnya.

Disebabkan banyak sektor tidak beroperasi, ia menjejaskan sumber pendapatannya dan menyebabkannya dihimpit kebimbangan memikirkan cara untuk menampung keperluan keluarga.

Namun, selepas menonton video di media sosial yang dikeluarkan oleh Pak Mat Western Sdn Bhd, ia memberi idea untuknya mencuba bidang baharu.

Ketika itu, Pak Mat Western membuka peluang ejen untuk mereka yang ingin menjual kambing perap di bawah jenama berkenaan.

Muhamad Fitri mengambil masa tiga hari untuk membuat keputusan yang bakal mengubah hidupnya. Ditambah sokongan isteri yang tidak henti, dia menghubungi ibu pejabat (HQ) Pak Mat Western dan membuat bayaran sebagai ejen.

Hari pertama sebagai ejen dengan 15 pek yang diberi sebagai permulaan mendapat sambutan luar biasa apabila stok habis terjual dalam tempoh 24 jam.

Setiap kali menambah stok, semua licin dalam tempoh sehari ke dua hari saja.

Tidak sampai dua minggu menjadi ejen, Muhamad Fitri mengorak langkah lebih besar dengan menjadi stokis untuk kawasan tempat tinggalnya sehingga muncul sebagai master stokis.

Pemasaran berkualiti dan tidak henti dari HQ membabitkan selebriti, media sosial, radio dan televisyen membantu memudahkannya membuat jualan.

Hasil keuntungan yang dicapai membolehkan Muhamad Fitri membeli van baharu Toyota Hiace untuk digunakan dalam mengambil dan menghantar stok kepada stokis.

Selain itu, dia juga kini mampu mengupah dua pembantu dan bakal memiliki rumah diidamkan hasil perniagaan produk Pak Mat Western.

Kini, Muhamad Fitri berjaya mencapai impian untuk memperoleh kebebasan kewangan.

Namun, niat paling utama yang membuatkannya seronok dalam bisnes ini, apabila dapat melihat stokis dan ejen di bawahnya berjaya dan mampu ubah kehidupan ke arah lebih baik.

Disiarkan pada: January 31, 2022 @ 7:10am
d