bisnes

Raih jualan RM6.8 juta pada usia 25 tahun

Shah Alam: Yakin dan optimis dalam menentukan jalan hidupnya, pengasas Produk Noufa Skin, Nur Izzaty Salimun menyifatkan minat dan naluri hati menjurus ke arah dunia perniagaan antara motivasi paling kuat untuk memberanikan diri terus melangkah.

Mula membantu bapanya menjual jagung di pasar malam selepas tamat persekolahan membuatkan Nur Izzaty nekad mengubah kehidupan keluarga.

"Untung bersih jual jagung RM15 sehari cukup untuk saya dan ayah beli makanan. Kami akan ulang perkara yang sama setiap hari, mula berniaga dari 9 pagi jika jagung cepat habis balik awal, kalau tidak tunggu sehingga pasar malam tutup 10 malam.

"Pernah terdetik masa itu, fikir seperti ini ke hidup aku selamanya? Masa itu saya berusia 17 tahun," katanya ketika mengimbas kembali bagaimana mula berniaga.

Ketika di universiti, Nur Izzaty meneruskan minat berniaga menjadi dropship dengan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan dan akhirnya memilih berhenti melanjutkan pengajian dan memulakan perniagaan produk penjagaan wajah.

Perniagaan dijalankan semakin berkembang, tetapi beliau yang masih mentah pada masa itu merasakan ilmunya belum lengkap dan memerlukan bimbingan daripada guru yang berpengalaman untuk memastikan segala cabaran dapat ditempuhi.

"Umur 20 tahun dengan pengalaman yang tak seberapa, apatah lagi ilmu. Masuk realiti perniagaan yang sebenar saya tertekan, mula rasa tak gembira dan rasa perniagaan ini makin lama makin susah.

"Saya tak ada pilihan, selain untuk bangkit kembali, sudah pilih untuk berhenti belajar walau keputusan peperiksaan baik di samping membawa harapan keluarga dan pasukan," katanya.

Pada Ogos 2019, Nur Izzaty mengambil keputusan mengikuti program Nak Ubah Hidup (NUH) dijalankan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman bersama RichWorks dengan 10 kakitangan syarikatnya.

Bayangkan hasilnya, jualan syarikat mampu mencatat RM100,000 sebulan membuatkan Nur Izzaty terus menyertai kelas bimbingan lain sehingga pada tahun lalu syarikatnya meraih jualan RM6.8 juta.

"Jika dilihat, pada 2019 keuntungan kira-kira RM900,000. Masa itu saya jangka satu juta mustahil, boleh ke perniagaan yang dijalankan capai juta?

"Pada 2020 syarikat catat jualan RM6 juta ketika saya sudah sertai program Mentoring Titanium dan nampak perniagaan naik secara agresif," katanya yang menyasarkan jualan RM15 juta pada tahun ini.

Sementara itu, Nur Izzaty memberitahu, Noufa Skin - Calendula Essence Toner antara produk paling laris dan pihaknya turut membuka peluang kepada mereka berminat menjana pendapatan dengan layari Facebook rasmi, Noufa Skin HQ.

Disiarkan pada: February 6, 2022 @ 11:25am
d