bisnes

TM hanya sewa bangunan Menara TM

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Berikutan iklan yang memaparkan penjualan Menara TM, Telekom Malaysia (TM) tampil memberi penjelasan bahawa bangunan berkenaan sebenarnya bukan dimiliki TM.

Sebaliknya Kumpulan hanya menyewa bangunan yang terletak di Jalan Pantai Baharu itu.

"TM tidak memiliki bangunan berkenaan dan tidak terbabit dengan penjualannya oleh pemilik hartanah iaitu Menara ABS Bhd," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, TM kini sedang dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke hartanah miliknya termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta hartanahnya di Cyberjaya, sebagai sebahagian daripada program pengoptimuman syarikat untuk

meningkatkan tahap kecekapan yang lebih tinggi dan menampung persekitaran kerja hibrid.

Menara TM, salah satu mercu tanda terkemuka di Kuala Lumpur ditawarkan untuk penjualan oleh pemiliknya, Menara ABS Bhd.

Dalam satu iklan yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, Menara TM yang menjadi struktur bangunan ikonik di ibu negara dengan 55 tingkat itu ditawarkan pada harga tidak didedahkan.

Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.

Bangunan yang siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 berstatus pegangan bebas itu ketika ini dihuni sepenuhnya.

Menurut iklan berkenaan, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan menara pejabat berkeluasan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.

Menara berkenaan dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) juga memiliki lebih 1,700 lot parkir.

Bangunan yang ketika ini menjadi ibu pejabat TM memiliki status MSC iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.

Disiarkan pada: February 9, 2022 @ 4:08pm
d