bisnes

Selangor komited muncul destinasi pelaburan terbaik

SELANGOR terus komited menjadi destinasi pelaburan terbaik di rantau ini sekali gus menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia menerusi penyertaannya dalam Ekspo 2020 Dubai.

Selangor juga terus membangunkan ekosistem bagi menggalakkan pelbagai pemain industri untuk menubuhkan operasi mereka di negeri itu.

Exco Selangor dan Pengerusi Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim berkata, dengan jumlah penyertaan 15 syarikat, Minggu Selangor mempromosikan lima kluster industri untuk pelaburan iaitu elektrik dan elektronik (E&E), sains hayat (bioteknologi), pengangkutan dan peralatan (aeroangkasa), mesin dan peralatan, serta makanan dan minuman (F&B).

Katanya, ekosistem dalam kluster perkhidmatan yang baru diperkenalkan dalam pelaburan logistik dan digital juga dipromosikan sepanjang Minggu Selangor.

"Lokasi strategik Selangor dengan dua lapangan terbang antarabangsa utama dan pelabuhan kontena kedua terbesar di Asean (Pelabuhan Klang) serta beberapa rangkaian rel domestik, jalan raya dan udara maju yang menghubungkan pusat ekonomi dalam negara menjadikan negeri ini antara hab perniagaan paling menarik untuk menghubungkan pelabur ke Asean dan pasaran global. "Selain itu, Selangor mempunyai sebanyak 3.6 juta tenaga kerja, yang sebahagian besarnya tenaga mahir dan mampu bertutur pelbagai bahasa," katanya pada sidang media Minggu Selangor @Ekspo 2020 Dubai secara maya, kelmarin.

Menurutnya, Selangor sentiasa bercita-cita menjadi destinasi pelaburan terbaik di rantau ini dan sebenarnya, ia menjadi kuasa ekonomi di Malaysia sejak lebih sedekad.

Beliau berkata, Ekspo 2020 Dubai adalah peluang dan platform hebat untuk Selangor menampilkan diri kepada dunia.

Teng berkata, Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai disokong dan disertai 21 kementerian, 70 agensi dan lima kerajaan negeri, termasuk Selangor, yang membawa perwakilan perniagaan mingguan daripada pelbagai sektor.

Invest Selangor Bhd turut mengetuai Minggu Selangor di Pavilion Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai yang bermula 6 hingga 12 Mac.

Disiarkan pada: March 9, 2022 @ 7:00am
d