bisnes

Berita pembukaan semula sempadan beri dorongan kepada Bursa Malaysia

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia meningkat semula, hari ini, selepas mencatatkan penurunan selama tiga hari berturut-turut, didorong sentimen positif susulan pengumuman Malaysia untuk membuka semula sempadan antarabangsa mulai 1 April ini.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tinggi 4.80 kepada 1,551.67 daripada 1,546.87 pada Selasa.

Indeks itu dibuka kukuh 3.45 mata kepada 1,550.32.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 249 berbanding 85, manakala 218 kaunter tidak berubah,1,721 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 116.73 juta unit bernilai RM72.52 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota Market Pulse, hari ini, berkata, peniaga mungkin mula memberikan tumpuan kepada sektor bertemakan pelancongan dan penerbangan susulan pengumuman mengenai pembukaan semula sempadan.

Langkah itu adalah seiring dengan rancangan kerajaan kepada "fasa peralihan ke endemik", selain usaha untuk memulihkan keseluruhan ekonomi negara terutamanya industri pelancongan yang telah terjejas teruk akibat pandemik.

Bagaimanapun, firma pembrokeran itu menegaskan bahawa kenaikan menyeluruh dijangka tidak kekal lama, mengambil isyarat daripada prestasi semalaman Wall Street walaupun mungkin terdapat aktiviti belian semasa harga rendah yang sederhana dalam sektor komoditi terpilih.

Wall Street mengalami dagangan yang tidak menentu sebelum susut lebih rendah selepas Purata Perindustrian Dow Jones merosot 0.6 peratus selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan sekatan import terhadap bahan bakar fosil Rusia.

Disiarkan pada: March 9, 2022 @ 11:14am
d