bisnes

Persatuan gesa percepatkan pelaksanaan biodiesel B20

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Biodiesel Malaysia menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan program biodiesel B20 pada tahun ini dan menurutnya terdapat kelewatan bagi menaik taraf kemudahan pengadunan biodiesel akibat Covid-19.

Presidennya UR Unnithan berkata walaupun sekiranya proses itu memerlukan perbelanjaan modal yang lebih besar, ia sewajarnya tidak menjadi isu serius memandangkan kerajaan pada masa ini menikmati perolehan yang besar daripada cukai keuntungan luar biasa.

"Kami juga mengesyorkan kerajaan untuk melaksanakan mekanisme cukai karbon untuk mempercepatkan lagi proses tersebut," katanya kepada Bernama pada Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik selama tiga hari, anjuran Bursa Malaysia.

Pandemik telah menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan program itu disebabkan pergerakan tenaga kerja yang terhad dari syarikat petroleum untuk menawarkan persediaan teknikal kepada depoh yang terlibat.

Unnithan mengunjurkan penggunaan biobahan api akan meningkat bukan sahaja melibatkan eksport, malah bagi penggunaan domestik.

"Penggunaan semasa kami iaitu sejuta kiloliter dijangka naik kepada 1.1 juta-1.2 juta kiloliter," katanya sambil menambah bahawa industri ini akan mempunyai kapasiti bekalan sebanyak 2.4 juta kiloliter.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa mandat Biodiesel Nasional dijangka berdepan tekanan akibat harga minyak sawit minyak gas yang tidak memberangsangkan, ketegangan geopolitik dan unjuran penurunan penggunaan minyak sawit bagi biobahan api di Kesatuan Eropah.

Sementara itu, Unnithan yang juga Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif firma teknologi DiBiz berkata, syarikat itu telah melancarkan Trustparent Marketplace, ekosistem digital untuk keseluruhan industri mintak sawit yang mampan.

Beliau berkata ia merupakan pasaran pertama seumpamanya yang menggalakkan kemampanan dan kepercayaan, mendemokrasikan nilai kepada semua pihak berkepentingan dalam rantaian bekalan minyak sawit mampan melalui platform dagangan dalam talian.

"Kami bukan sahaja membantu untuk menghubungkan pembeli dan penjual, malah ia juga adalah pasaran untuk kami membuat pengesahan kemampanan, menawan data terperinci di blok rantai, bekerjasama dengan rakan imej satelit kami untuk mengesan penebangan hutan.

"Kami yakin ia bakal menjadi pencetus perubahan, dan ia (konsep) boleh diguna pakai terhadap komoditi lain," katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2022 @ 1:22pm
d