bisnes

39 daripada 100 OGSE Malaysia amal kelestarian

SEKTOR perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia menunjukkan prestasi yang memberangsangkan ke arah kemampanan.

Berdasarkan laporan tahun kewangan 2020, sebanyak 39 daripada 100 pemain OGSE Malaysia mengamalkan kelestarian dalam syarikat dan 14 peratus daripadanya bukan syarikat berhad awam (Non-PLC)

Selain itu, 25 peratus daripada 39 syarikat terbabit adalah syarikat PLC yang melepasi keperluan yang ditetapkan oleh Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) 2017 bagi mencapai tahap kemampanan.

Menerusi capaian terbabit, satu daripada lima OGSE PLC melaporkan pergerakan bagi mencapai sasaran dalam jangka masa lama.

Selain itu, satu daripada lima OGSE PLC yang melaporkan pergerakan ke arah perubahan iklim di mana ia satu perkara baharu.

Pemain OGSE perlu berusaha melaporkan prestasi ke arah mencapai sasaran dari segi perubahan iklim.

Namun pelbagai insiatif perlu dipertingkatkan dari segi Persekitaran (environment), Sosial (social) dan Tadbir Urus (governance) atau ESG bagi mencapai sasaran kemampanan.

Menerusi Laporan Kemampanan Industri OGSE, lapan daripada 25 PLC atau 32 peratus dari segmen Environment mendedahkan data Skop 1 dan Skop 2 berkenaan pelepasan rumah hijau (GHG).

Sementara itu, dalam aspek Sosial membabitkan 96 peratus daripada 25 PLC melaporkan mematuhi amalan Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE).

Lapan daripada 25 PLC pula mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pengarah wanita dalam syarikat mereka sebagaimana diperlukan MCCG 2021.

Seterusnya, aspek Tadbir Urus (Governance) menampilkan 88 peratus daripadanya menerima pakai tadbir urus mampan bagi mengawasi perlaksanaan kemampanan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd Yazid Ja'afar berkata, bagi meningkatkan usaha ke arah kelestarian, pihaknya akan memulakan perancangan bagi menjalankan pelan kemampanan OGSE pada tahun ini.

"Kami menyasasarkan 70 syarikat OGSE untuk melaporkan perancangan kemampanan dan pergerakan mereka sehingga tahun 2030 dan lima syarikat dalam indeks kemampanan pelbagai," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2022 @ 9:00pm
d