bisnes

Proton pasang panel solar, jimat RM4.39 juta setahun

Oleh Lizam Ridzuan

Tanjung Malim: Proton melancarkan inisiatif tenaga mesra alam dengan pemasangan panel solar dwimuka yang terbesar untuk pengeluar kereta di Malaysia di kilang mereka di Tanjung Malim, Perak.

Pengarah Pelaburan dan Promosi Proton, Mohd Khalid Yusof berkata projek ini juga membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,536 tan setahun selain menjimatkan kos utiliti.

"Kemudahan panel solar Proton sebagai adalah sebahagian inisiatif hijau syarikat serta menyahut sasaran kerajaan menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

"Gabungan 28,000 panel solar pada kawasan parkir kenderaan dan di atas bumbung kilang dengan 12MWp (puncak Megawatt) dan 3MWp memenuhi keperluan sehingga 25 peratus penggunaan kuasa kilang ini," katanya pada majlis lawatan media ke inisiatif tenaga solar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Pekat Solar Sdn Bhd, Wee Chek Aik dan Pengarah MFP Solar Sdn Bhd, Goh Chin San.

Kawasan parkir boleh memuatkan 2,880 unit kenderaan itu meliputi kawasan seluas 9.47 hektar diliputi 20,544 panel solar dwimuka untuk fungsi pencahayaan daripada atas dan pantulan cahaya daripada permukaan jalan dan kereta.

Kaedah ini juga membantu mengurangkan bil elektrik Proton sebanyak RM4.39 juta setahun.

Panel berkenaan dibina dan ditauliahkan oleh Kumpulan Pekat dan rakan bersekutunya MFP Solar.

Sementara iti Chek Aik berkata, projek itu dibiayai oleh pihaknya membabitkan pelaburan lebih RM30 juta menggunakan kaedah guna serah atau BOT (Bulid, Operate, Transfer).

Katanya Proton akan membeli tenaga elektrik yang dijana daripada panel solar yang dibina pihaknya menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 15 tahun.

"Proton akan membeli tenaga daripada kami pada kadar 15 -20 peratus lebih rendah daripada kadar tarif semasa.

"Ia akan menguntungkan Proton menerusi penjimatan dan perjanjian untuk bil elektrik menerusi kaedah ini," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2022 @ 7:34pm
d