bisnes

Teraju pantau pemenang Superb

UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) terus memantau aktiviti pemenang program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb). 

Pengarah Penyampaian Strategik Teraju, Mohd Najib Jaafar berkata, ia usaha bagi mengukuhkan kedudukan peserta dalam perniagaan. 

"Sehubungan itu, tahun ini Teraju tidak membuka permohonan bagi program Superb, kerana baru-baru ini, kami menjalankan kajian impak bagi melihat keberkesanan program ini. 

"Menerusi kajian ini, kita melihat sama ada program ini perlu diteruskan atau perlu  menjalankan program sedia ada dengan memberi penambahanbaikan. 

"Bagaimanapun, di Teraju kami bukan hanya ada program Superb, tetapi juga program lain yang dapat membantu usahawan untuk ke peringkat lebih tinggi  termasuk menembusi pasaran antarabangsa," katanya pada  Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Pembangunan Aplikasi PandaiBola di Taman Teknologi Malaysia di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif My EduSoccer Sdn Bhd, Muhammad Yazid Yahya dan Ketua Pegawai Perniagaan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (Mranti), Syed Zulkifli Syed Ismail. 

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata, aplikasi PandaiBola adalah sistem yang berfungsi sebagai tutorial bagi membantu akademi menentukan apa yang perlu dijalankan untuk latihan bola. 

"Kami membina perancangan, menjalankan ujian dan membuat pengumpulan data berkaitan dengan bola sepak di Malaysia. 

"Menerusi aplikasi ini kita dapat mengenal pasti bakat dan dapat memantau prestasi pemain," katanya. 

My EduSoccer turut mendapat kerjasama daripada beberapa berkaitan kerajaan (GLC) seperti asiana.my, the Sekolah Bola, Acute Media dan banyak lagi.

Disiarkan pada: March 28, 2022 @ 7:10am
d