bisnes

Subsidi upah bernilai RM20.63 bilion, setakat 18 Mac

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan menyalurkan sejumlah RM20.63 bilion kepada 357,618 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) setakat 18 Mac, 2022, untuk mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, melalui PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja sudah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan mencecah nilai RM12.958 bilion setakat 18 Mac, 2022.

Beliau berkata, di bawah PSU 2.0 setakat 18 Mac 2022, sejumlah RM1.407 bilion disalurkan kepada 81,132 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian seramai 718,195 pekerja.

"Bagi PSU 3.0 setakat 18 Mac, 2022, sebanyak RM3.728 bilion disalurkan kepada 162,255 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1,525,987 pekerja.

"PSU 3.0 turut ditambah baik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pemerkasa+," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat yang dikeluarkan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kerajaan melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja.

"Bagi tempoh setakat 18 Mac, 2022, sebanyak RM2.465 bilion disalurkan kepada 159,326 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1,874,512 pekerja," katanya.

Beliau berkata, bagi PSU 5.0, sebanyak RM71.995 juta disalurkan kepada 3,681 majikan setakat 18 Mac 2022 bagi membolehkan mereka terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 61,772 pekerja.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, seramai 2,709 peserta berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui inisiatif program Malaysia Short-term Employment (MySTEP) setakat 25 Mac, 2022 berbanding 2,546 orang setakat 17 Mac lepas.

Daripada jumlah itu, seramai 1,833 orang pekerja ditempatkan di sektor awam, manakala 713 pekerja lain di GLC serta rakan-rakan strategik lain, kata beliau.

"Kementerian Kewangan juga menyediakan portal MySTEP bagi menambah baik proses permohonan dan pengambilan pekerja di sektor awam dan GLC. Portal ini sudah dilancarkan secara rasmi pada Majlis Pelancaran JaminKerja yang berlangsung pada 19 Februari lepas.

"Mereka yang berminat untuk bekerja di sektor awam atau GLC hanya perlu memohon serta memuat naik maklumat diri masing-masing melalui portal itu," katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2022 @ 1:46pm
d