bisnes

#DIY4Sungai fokus bersih Sungai Melaka

KUMPULAN Mr DIY (M) Berhad (Mr DIY), syarikat peruncit perkakas rumah tempatan memilih Sungai Melaka sebagai fokus terbaharunya dalam inisiatif #DIY4Sungai sebagai usaha menyambut kehadiran tetamu sebaik sempadan negara dibuka semalam.

Inisiatif ini sebagai satu sokongan buat industri pelancongan negara, bertujuan memastikan kawasan tumpuan pelancong sepanjang sungai dan jalan air dibersihkan dan dipulihkan.

Aktiviti selama dua jam itu membabitkan 40 sukarelawan terdiri daripada kakitangan MR DIY serta Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka.

Pada program itu, 1,000 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dan dilupuskan.

"Sebagai jenama kelahiran Malaysia, MR DIY ingin memberi sokongan terhadap inisiatif yang bertujuan untuk mengekalkan, melindungi dan memulihkan lokasi pelancongan yang menarik serta indah di Malaysia," kata Pengerusi Kumpulan MR DIY, Datuk Azlam Shah Alias mengenai inisiatif berkenaan.

Jelas beliau lagi, MR DIY turut mengadakan inisiatif serupa sebelum ini, di Sungai Kedondong dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), selain kerja-kerja penyelenggaraan terhadap kemudahan di kawasan rekreasi terbabit.

"Kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama seperti ini pada masa akan datang," katanya.

Antara inisiatif lain diusahakan MR DIY termasuklah DIY Made Simple, sebuah pertandingan yang direka khas untuk mempromosikan budaya Do-it-Yourself (buat sendiri) dalam kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Selain itu, mereka juga menganjurkan inisiatif #DIY4UM, sebuah program dengan kerjasama Universiti Malaya untuk membantu lebih 12,000 pelajar membuat persiapan kembali ke kampus selepas pandemik.

Disiarkan pada: April 2, 2022 @ 7:10am
d