bisnes

Pembayaran guna kod QR paling pesat

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 mencetuskan peralihan ke pembayaran digital namun, ia tidak menggantikan pembayaran tunai sebagai mod pembayaran utama.

Bagaimanapun, pembayaran tunai dilihat semakin merosot di mana 78 peratus pengguna memilih pembayaran tunai, berkurangan 11 peratus berbanding sebelum pandemik.

Berdasarkan Kajian Pembayaran Digital 2022 oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), ia mendapati pengguna memilih perbankan mudah alih untuk pembayaran berbanding perbankan dalam talian menggunakan desktop berikutan ia boleh digunakan di kedai fizikal dan dalam talian.

"Pembayaran secara kod QR adalah paling pesat berkembang ketika pandemik dengan penggunaan 13 peratus lebih tinggi.

"Pembayaran menggunakan kad pula adalah yang paling popular untuk pembelian di kedai fizikal berikutan ia diterima secara meluas," menurut kajian berkenaan.

Kajian berkenaan dilakukan pada suku keempat 2021 yang dilaksanakan Nielsen IQ.

Ia juga mendapati, pengguna Malaysia secara umumnya menggunakan dua hingga 10 peratus kurang tunai berbanding sebelum pandemik.

"Usia, jantina, lokasi dan tahap pendapatan mempengaruhi pilihan pembayaran. Malah, ia mendapati perniagaan di Selatan dan Pantai Timur lebih memilih transaksi tunai," katanya.

Menurut kajian itu, walaupun berdepan trend menurun, pembayaran tunai masih kekal sebagai pilihan utama dengan 78 peratus pengguna memilih pembayaran tunai dan 48.4 peratus menggunakan transaksi tunai setiap hari.

"Angka berkenaan lebih tinggi di kawasan luar bandar berbanding di kawasan bandar (36.2 peratus)," katanya.

Dari aspek peniaga, perkhidmatan e-pembayaran kini menjadi pilihan utama diikuti e-dompet.

"Sebelum pandemik, pembayaran tunai menjadi pilihan utama diikuti kad kredit, e-pembayaran, kad debit dan e-dompet.

"Namun, ketika pandemik bermula, e-pembayaran berada di tangga teratas diikuti e-dompet, tunai. kad kredit dan kad debit," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paynet, Peter Schiesser berkata, hasil kajian itu menunjukkan Malaysia berada di trajektori yang betul untuk penerimaan pembayaran digital secara besar-besaran.

"Pembayaran digital terus menjadi pemboleh kritikal untuk perkembangan dan pertumbuhan ekonomi.

"Keutamaan untuk perbankan mudah alih di desktop dalam membuat pembayaran, peningkatan pembayaran secara kod QR, kepercayaan berterusan terhadap kad (terutamanya kad debit) untuk pembayaran dalam kedai dan cek yang semakin berkurangan dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan.

"Apa yang utama, pembayaran secara tunai semakin merosot, walaupun ia kekal sebagai mod pembayaran utama," katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2022 @ 7:00am
d