bisnes

Khazanah lancar sasaran rangka kerja lestari

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Bhd telah melancarkan sasaran jangka pertengahan dan rangka kerja lestari untuk memandu dana kekayaan berdaulat negara dan syarikat penerima pelaburan utamanya dalam memberikan nilai yang mampan melalui integrasi pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam perniagaan teras mereka.

Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata kelestarian adalah sebahagian daripada teras strategi 'Advancing Malaysia' yang telah diperkenalkan awal tahun ini, di bawah tonggak Mewujudkan Masa Depan Yang Lestari.

"Bagi melaksanakan tindak balas yang koheren terhadap kelestarian, kami akan menggunakan semua pendekatan Khazanah, merangkumi semua aspek bagaimana ia bertindak sebagai pelabur yang bertanggungjawab, sebagai organisasi yang mampan dan warga korporat yang baik.

"Ini bermakna kelestarian disatukan dalam semua yang kami buat iaitu daripada kaedah menguruskan pelaburan kepada bagaimana kami beroperasi sebagai sebuah firma, dan bagaimana kami menyokong dan menyumbang kepada objektif pembangunan sosial negara," katanya ketika berucap pada pelancaran Rangka Kerja dan Sasaran Kelestarian Khazanah: Melabur dalam Peralihan Lestari 2022 di sini hari ini.

Rangka Kerja Kelestarian yang diperkenalkan oleh Khazanah direka bentuk secara holistik, berteraskan tiga tonggak utama ESG dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang paling memberi kesan kepada organisasi serta portfolionya daripada sudut kematanan perniagaan.

Amirul Feisal berkata aspirasi Khazanah adalah untuk memainkan peranan utama dalam membentuk peralihan yang adil dan bertanggungjawab ke arah masa depan Malaysia yang lestari.

Sebagai dana kekayaan berdaulat negara, beliau berkata adalah penting bagi Khazanah untuk memastikan tindakannya mampu menyokong serta merangsang peralihan yang bertanggungjawab ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif.

Beliau juga menegaskan disebabkan oleh sifat syarikat yang kompleks dan kepelbagaian dalam portfolionya, Khazanah akan mengambil pendekatan secara bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerima pelaburannya untuk beralih ke arah model perniagaan yang lebih lestari, memastikan syarikat-syarikat ini kekal berdaya saing dan berdaya tahan di tengah-tengah cabaran selain membolehkan mereka mengambil peluang ke atas sektor dan tema yang menerima manfaat daripada ESG.

Disiarkan pada: June 10, 2022 @ 6:51pm
d