bisnes

Malaysia Airlines kaji semula surcaj bahan api

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Kenaikan harga minyak dunia memberi cabaran utama kepada Malaysia Airlines untuk mengkaji semula surcaj bahan api yang dikenakan syarikat penerbangan utama negara itu bagi mengimbangi kenaikan harga bahan api yang sudah melepasi AS$130 satu tong.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, kesan peperangan Rusia-Ukraine telah menyebabkan krisis harga minyak dunia dan pihaknya menyaksikan kenaikan hampir sekali ganda harga bahan api itu berbanding yang diramalkan tahun lalu iaitu AS$88 satu tong.

Katanya, kadar surcaj bahan api yang dikenakan dalam kalangan negara Asean pada masa ini adalah serendah AS$8 sejak beberapa bulan lalu.

"Kenaikan harga minyak ini memberi kesan teruk kepada prestasi kami, namun kami perlu mengkaji semula jika terdapat keperluan untuk menaikkan kadar surcaj seperti yang dilakukan oleh syarikat penerbangan lain di seluruh dunia yang melakukannya secara berperingkat.

"Dari segi masa, kami masih lagi tiada tempoh masa bila kenaikan surcaj bahan api ini akan dilakukan.

"Bagaimanapun, secara jujurnya kami mengkajinya setiap hari kerana kami perlu kekal kompetitif dan pada masa sama kami sedar mengenai kemampuan pengguna untuk memastikan tiket penerbangan masih mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran video keselamatan baharu Malaysia Airlines yang bertajuk 'Satu, Dua, Tiga, Jom!' , di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengasas dan Pengarah The Enfiniti Creative Universe, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Sementara itu, Lau berkata berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan domestik pihaknya menyasarkan peningkatan lebih 70 peratus kapasiti pesawat daripada kadar prapandemik, menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, permintaan semakin baik dan pergerakan penumpang terutama kemasukan pelancong ke dalam negara dilihat menggalakkan.

"Peningkatan kapasiti pesawat ini disumbangkan oleh laluan utama Malaysia Airlines iaitu London di mana untuk kelas perniagaan sentiasa mencapai kapasiti 100, begitu juga laluan ke Australia, manakala laluan domestik juga semakin mendapat permintaan.

"Mengikut pemerhatian kami, trend pelanggan domestik sekarang ini akan membuat tempahan tiket penerbangan lebih singkat iaitu dalam tiga ke lima hari saja sebelum perjalanan dan tinggal lebih lama," katanya.

Video keselamatan Malaysia Airlines 'Satu, Dua, Tiga, Jom!' arahan Tiara Jacquelina itu juga boleh ditonton di saluran YouTube.

Disiarkan pada: June 21, 2022 @ 7:14pm
d