bisnes

Untung sebelum cukai CBP meningkat kepada RM86.156 juta

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama Bhd (CBP) mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 2.4 peratus kepada RM86.156 juta bagi tahun kewangan berakhir Disember 2021 berbanding dengan RM84.15 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, peningkatan keuntungan didorong oleh penawaran produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.

Beliau berkata, mengenai pembayaran dividen, CBP mencadangkan pemberian dividen bersih pada kadar 6.1 peratus bagi syer biasa untuk tahun kewangan berakhir Disember 2021.

"Kita mencadangkan pembayaran dividen kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Kadar dividen yang dicadangkan kepada SKM adalah kompetitif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi sepanjang tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan CBP di sini, pada Sabtu.

Baharom berkata, CBP juga membuka peluang kepada anggota sedia ada untuk menambah jumlah syer di bank koperasi berkuat kuasa dari 1 Jun 2022.

Bagaimanapun, penambahan modal syer dalam kalangan ahli CBP hanya dibuka sehingga modal syer ahli mencapai RM1 bilion berdasarkan 'siapa cepat, dia dapat', katanya.

"Untuk menambah modal syer ini, ia hanya dibuka kepada anggota CBP sedia ada dan yang berdaftar sebelum 1 Jun 2022 iaitu bagi anggota individu had maksimum sebanyak RM50,000 termasuk baki sedia ada.

"Sementara itu, bagi anggota koperasi pula, had maksimum yang ditetapkan adalah RM100,000 termasuk baki syer sedia ada," katanya.

Beliau berkata, keanggotaan baharu masih lagi dibuka di beberapa cawangan baharu secara jumpa terus namun had modal syer yang dibenarkan masih kekal RM5,000 bagi individu dan RM10,000 untuk koperasi.

Setakat 31 Disember 2021, CBP mempunyai 91,601 ahli manakala deposit pelanggan meningkat sebanyak 6.9 peratus kepada RM4.9 bilion pada 2021 daripada RM4.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Disiarkan pada: June 25, 2022 @ 4:03pm
d