bisnes

Penarafan lebih baik bukti keyakinan S&P terhadap Malaysia

Kuala Lumpur: Semakan semula prospek penarafan kredit berdaulat jangka panjang Malaysia kepada 'stabil' daripada 'negatif' oleh S&P Global Ratings membuktikan keyakinannya terhadap usaha konsolidasi fiskal dan memperkasa pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, Malaysia mampu mengekalkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan.

"Ini dialu-alukan dan satu pengiktirafan kepada ketepatan dasar kita yang dilaksanakan di tengah-tengah cabaran dalam keadaan geopolitik tidak menentu, ketidakpastian ekonomi dunia serta tekanan inflasi di banyak negara.

"Pada masa hadapan, sudah pasti kita menghadapi keadaan yang terus mencabar tetapi dengan kemampuan yang ada, kita yakin dapat mengurus negara sebaik mungkin untuk memastikan nasib rakyat terbela,'' katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia (WDETS) di sini, semalam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kelmarin berkata, S&P menyemak semula prospek penarafan Malaysia berikutan ia percaya negara pada landasan pemulihan ekonomi yang kukuh berbanding negara lain pada tahap pendapatan yang sama.

S&P mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 6.1 peratus pada tahun ini dan 5.0 peratus pada 2023 disokong eksport kukuh, harga komoditi dan permintaan domestik yang tinggi berikutan pembukaan semula ekonomi.

Disiarkan pada: June 29, 2022 @ 8:19am
d