bisnes

Perlindungan kewangan takaful khusus untuk OKU

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Zurich Malaysia komited menyediakan perlindungan untuk orang kurang upaya (OKU) dengan memperkenalkan program Sinar Senyuman Al-Shams yang memudahkan akses perlindungan kewangan takaful kepada golongan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Nazrul Hisham Abd Hamid berkata, Zurich Malaysia melalui agensi Rangkaian Francais Zurich Teras Legacy juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) bagi menyokong pemerkasaan OKU melalui

pembangunan keusahawanan.

Katanya, program ini akan membantu OKU menjalani kehidupan yang bermakna dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan negara.

"Kami menyasarkan 4.9 juta OKU di seluruh negara untuk tampil merebut peluang ini supaya kita dapat lindungi mereka dan sekarang ini kita hanya membuat perjanjian dengan OKU Sentral.

"Kita juga akan memberi peluang pekerjaan sebagai perunding insurans kepada golongan OKU sebab ini adalah penting kerana kita mahu mereka berdikari dan hidup dengan lebih terjamin.

"Kami juga menyasarkan 10 peratus daripada golongan OKU menjadi perunding dalam pakej ini dan akan membimbing serta melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan," katanya di majlis Pelancaran dan MoU antara Teras Legacy dan Persatuan OKU Sentral di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Sementara itu, Zurich Malaysia turut menawarkan pakej perlindungan serendah RM50 sebulan yang menawarkan perlindungan berjumlah RM50,000 hingga RM350,000 dengan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada pencarum malah ahli keluarga OKU.

Ras Adiba berkata, pihaknya amat bersyukur kerana ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan bertahun lamanya oleh golongan itu.

"Jadi ini adalah sesuatu perkara yang sudah lama kami lalui dan ibu bapa kami gusar apabila mereka tiada nanti.

"Namun dengan adanya pakej ini, kesemua OKU daripada tujuh kategori (kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya fizikal, kurang upaya pertuturan, kurang upaya pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai) akan diberi peluang untuk mendapat perlindungan insurans tanpa perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2022 @ 4:46pm
d