bisnes

Apple bakal hasilkan Apple Watch, MacBook di Vietnam

Oleh BERNAMA

Hanoi: Apple sedang berbincang untuk membuat Apple Watch dan MacBook di Vietnam buat kali pertama ketika gergasi teknologi Amerika Syarikat itu berusaha untuk mempelbagaikan pengeluaran dari China, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA), memetik Nikkei Asia.

Pembekal Apple Luxshare Precision Industry dan Foxconn telah memulakan ujian pengeluaran Apple Watch di utara Vietnam dengan tujuan untuk mengeluarkan peranti itu di luar China.

Mengenai pengeluaran MacBook, Apple telah meminta pembekal untuk menyediakan barisan pengeluaran ujian di Vietnam.

Bagaimanapun, kemajuan dalam memindahkan pengeluaran besar-besaran ke negara ini adalah perlahan, sebahagiannya disebabkan oleh gangguan berkaitan pandemik.

Vietnam sudah pun menjadi hab pengeluaran paling penting Apple di luar China, menghasilkan pelbagai produk utama untuk syarikat itu, termasuk tablet iPad dan fon telinga AirPods.

Apple juga terus mengalihkan pengeluaran iPad ke Vietnam dalam usaha untuk mempelbagaikan pengeluarannya. Selain itu, kumpulan itu juga sedang berbincang dengan pembekal untuk membina barisan pengeluaran percubaan untuk pembesar suara pintar HomePodnya di Vietnam.

Bilangan pembekal Apple dengan kemudahan di negara Asia Tenggara telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 22 daripada 14 pada 2018, menurut analisis Nikkei Asia mengenai senarai pembekal terkini Apple yang tersedia.

Banyak pengeluar elektronik utama lain seperti Google, Dell dan Amazon juga telah menyediakan pengeluaran di negara ini untuk mempelbagaikan di luar China.

Disiarkan pada: August 17, 2022 @ 4:48pm
d