bisnes

MyMall tawar faedah bernilai RM100 juta kepada usahawan

Oleh Muhammad Najmir Razaman

SHAH ALAM: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Rakan Strategik MyMall dalam Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Selangor di Tapak Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor.

Turut hadir menyaksikan pertukaran memorandum tersebut ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. 

MoU antara Unifi Business, REV Media Group, EasyStore Commerce Sdn Bhd, dan ModulEight Technologies Sdn Bhd (MesinKira) ini menawarkan beberapa manfaat tambahan kepada usahawan tempatan di bawah MyMall, sebuah platform digital keusahawanan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Kerjasama antara MyMall dan rakan-rakan strategik ini bakal memberikan nilai tambah bernilai lebih daripada RM100 juta kepada komuniti usahawan, terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berada di luar bandar.

Bukan itu sahaja, usahawan B40 yang kurang mempunyai pendedahan kepada perniagaan dalam talian akan turut menikmati manfaat yang sama.

Pertukaran MoU ini disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank. Datuk Dr Aria Putera Ismail yang bertindak sebagai agensi pelaksana pembangunan platform MyMall.

Berikut adalah manfaat yang bakal ditawarkan kepada para usahawan:

Hasil kerjasama dengan Unifi Business, usahawan MyMall dapat memanfaatkan akses kepada komuniti pengguna Unifi Business yang sedia ada, iaitu merangkumi 2,000,000 pelanggan di rumah dan juga 400,000 Peniaga Kecil Sederhana (PKS).

REV Media Group pula akan memberi akses kepada platform pengiklanan dengan kadar 86 peratus diskaun untuk PKS yang berdaftar bersama MyMall.

Melalui kerjasama bersama EasyStore, usahawan MyMall diberikan akses terhadap platform perniagaan menerusi pelbagai saluran (omni-channel).

MesinKira pula akan menawarkan akses terhadap sistem Point of Sales (POS) kepada usahawan MyMall.

Insentif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 10,000 PKS menjelang tahun 2023 dan akan terus menggalakkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam pembangunan usahawan.

Platform MyMall ini dilancarkan oleh KUSKOP pada 12 April 2022 dan disertai lebih 5,000 komuniti peniaga. 

Sehingga Februari 2023, disasarkan terdapat pertambahan sebanyak 30 peratus usahawan yang menyertai platform ini.

Perdana Menteri dalam ucapan beliau menegaskan betapa sektor perniagaan terutamanya PMKS kekal signifikan dalam menyumbang kepada ekonomi negara walaupun berdepan pelbagai cabaran. 

Sektor PMKS menyumbang sebanyak 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan dijangka terus meningkat sehingga 45 peratus menjelang tahun 2025.

KUSKOP melalui MyMall dan agensi-agensi di bawahnya terus komited dalam memastikan wujudnya sebuah ekosistem yang lebih inklusif dalam menyokong usahawan terutamanya usahawan PMKS. 

Fokus MyMall termasuklah membantu usahawan yang belum mempunyai pendedahan terhadap perniagaan dalam talian.

Lawati MyMall di SINI sekarang.

Disiarkan pada: August 25, 2022 @ 12:07pm
d